HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 September 2020

Menjelang Fasa Kedua Kempen, Bendera Pelbagai Parti Termasuk BN Semakin Semarak

KOTA KINABALU – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memasuki hari ketujuh hari ini dan bakal memasuki fasa kedua pada Sabtu nanti mula menampakkan perang bendera antara parti-parti yang bertanding termasuk Barisan Nasional (BN) semakin semarak.

Jalan-jalan di sekitar Tanjung Aru dan jalan-jalan yang melalui sekitar Putatan serta pinggir bandaraya Kota Kinabalu dan lain-lain kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhampiran dengan pusat bandar mula kelihatan bendera-bendera parti dipasang menghiasi laluan kawasan terbabit.

Bendera Barisan Nasional (BN) diselang seli dengan bendera parti lain termasuklah juga calon-calon bebas yang turut tidak ketinggalan dalam usaha memastikan pengundi memberikan kepercayaan kepada parti serta calon yang diketengahkan oleh parti-parti terbabit.

Menariknya pelbagai lambang dan pelbagai warna kelihatan di tepi-tepi jalan dengan bendera dipacak berselang seli dan seolah-olah ‘satu pesta’ bendera.

Bagi anak muda tempatan, Zainal Abidin ketika ditemui di Putatan menyifatkan suasana yang ada hari ini belum meriah sepenuhnya kerana masing-masing mungkin dalam proses untuk meletakkan bendera dan juga poster-poster calon yang bertanding.

Apa pun kata beliau di hati pengundi sudah tersemat parti mana yang ingin dipilih dan ingin diberi kepercayaan untuk menerajui negeri manakala wakil rakyat pun mungkin sudah ada untuk dipilih sebagai mata dan telinga mereka.

 

Ketika ditanya mengenai parti manakah yang ada kelebihan, beliau berpandangan rakyat perlu melihat kepada ‘track record’ (rekod perkhidmatan) sesebuah parti dalam menerajui negeri serta dalam mengurus tadbir kepentingan dan kebajikan rakyat itu sendiri.

‘’Hakikatnya dan realitinya BN sebelum ini telah terbukti dalam soal-soal sedemikian dan kita sudah pasti ingin melihat sesebuah parti yang menjaga dan membela kepentingan rakyat…apatah lagi dalam soal pembangunan negeri…pembangunan ekonomi…pembangunan secara menyeluruh itu yang penting dan yang perlu menjadi asasnya,’’ ujarnya.

Sementara itu Hjh Rimbah Osman dari Kg Sembulan Baru pula melihat suasana pada kali ini cukup berbeza dan ‘timbangan’ bakal menjadi pilihan dan secara terbuka menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN,

Beliau yang akan mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berpandangan banyak perkara yang telah dilaksanakan dan dibuat oleh kerajaan yang diterajui BN sebelum ini.

‘’BN bagus…tolong rakyat..sebab UMNO menerusi BN sentiasa tolong rakyat tanpa mengira sesiapa pun. Tidak kira daripada mana dan tidak kira kaum  dan bangsa apa sekali pun rakyat tetap di depan dan sentiasa dibantu. Ini yang kita mahu dan sama-sama lakukan perubahan. Kita ubah balik,’’ ujarnya.- UMNO Online.

Tiada ulasan: