HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 September 2020

Mohamaddin tak cerdik, Warisan pilih calon tangkap muat – Nazri

Shawaliah Hadir
MGF21092020_NAZRI-BICARA-SANTAI05-681x454
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz diiringi calon BN N.22 Tanjung Aru, Mohd. Reduan Aklee (kanan) beramah mesra dengan sebahagian pengundi yang hadir pada Majlis Bicara Santai Dun Tanjung Aru sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pusat Daerah Mengundi Tanjung Aru Timur, Putatan, Sabah. foto HAZROL ZAINAL

PUTATAN – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan calon Warisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi hanya calon ‘tangkap muat’.

Kata Nazri, ia terbukti dengan kenyataan tidak bijak daripada Mohamaddin berhubung insiden berdarah di Lahad Datu pada tahun 2013.

“Yang dicalonkan oleh Warisan untuk menjadi calon DUN Segama. Inikah orang yang nak jadi calon? Sebab itu saya nak beritahu, jangan percaya kepada calon Warisan kerana mereka ini semua calon tangkap muat, siapa sahaja,” katanya ketika Program Bicara Santai bersama calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Aru Mohd Reduan Aklee di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru Timur malam ini.

Beliau juga menempelak tindakan pemimpin Warisan itu yang dilaporkan menyifatkan insiden berdarah di Tanduo sebagai sandiwara politik.

“Saya nak tanya Mohamaddin, kalau itu merupakan drama macam mana orang yang terkorban itu? Kalau ini merupakan drama makna kalau kita faham 10 yang terkorban itu, mereka pelakon.

“Jadi panggillah balik mereka sekarang. Sebab dia kata ini drama (sandiwara), kalau begitu kita masih lagi boleh lihat mereka yang sudah tidak ada dalam drama sebab mereka pelakon.

“Mohamaddin jangan main-main, ini perkara benar. 10 orang yang terkorban kamu langsung tidak fikirkah kesedihan keluarga mereka? Mereka yang telah terkorban, hilang buat selama-lamanya.

“Ada yang masih muda, meninggal umur 21, masuk tentera meninggal. Ada yang umur lebih 30 tahun, ada yang 30 tahun. Mereka meninggal pada usia muda.

“Mengorbankan jiwa dan raga untuk negeri Sabah tapi kamu main-main katakan ini satu konspirasi. Saya tidak pernah jumpa seorang yang paling bangang dalam dunia,” tambahnya.

Untuk rekod, pencerobohan di Lahad Datu telah menyebabkan 10 orang anggota keselamatan terkorban termasuk dalam beberapa serangan hendap.

Menerusi video yang tular, Mohammadin menyindir pasukan keselamatan kita cuma berperang dengan ayam dan anjing masa itu.

Bagaimanapun Mohamaddin menafikan mengeluarkan kenyataan menghina anggota keselamatan yang terkorban dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mengecam Mohamaddin yang dilihat gagal menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang ditinggalkan selepas Pakatan Harapan mentadbir.

Ini kerana bekas bekas setiausaha sulit kanan Mohamaddin dan tunangnya didakwa atas tuduhan rasuah bernilai RM3.7 juta berkaitan perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.

“Dia (Mohamaddin) memang bangang, ganti saya sebagai Menteri Pelancongan kerja dia melancong dengan keluarganya. Peruntukan untuk kementerian digunakannya untuk melancong dengan keluarga.

“Tengoklah yang kena tangkap setiausahanya, orang buat kerja dia merompak menerusi setiausahanya, anaknya. Kita tahu itu semua,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: