HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 September 2020

MP Sandakan dakwa PN 'batalkan' peruntukan RM4.2j untuk Kg Sim-Sim

PRN SABAH | Isu pembangunan dijangka mendominasi kempen ketiga-tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sandakan.

Anggota Parlimen Sandakan, Vivian Wong mendakwa peruntukan kira-kira RM4.2 juta yang diluluskan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng untuk kerja-kerja pembaikan di Kampung Sim-Sim - salah satu daripada sembilan daerah mengundi di N56 Tanjong Papat - telah dibatalkan apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan persekutuan pada Mac lalu.

Berucap di hadapan kira-kira 100 pengundi di gelanggang futsal tertutup di Kampung Bumiputera Melayu malam tadi, Wong berkata permintaan kepada Lim dibuat berdasarkan janjinya ketika mengunjungi kampung terapung itu semasa berkempen untuknya tahun lalu.

"YB Lim Guan Eng datang ke Sandakan dan melawat Kg Sim-Sim, dia janji kepada penduduk akan menolong baiki kesemua jambatan di Kampung Sim-Sim," kata Wong yang menggantikan tempat mendiang bapanya, Stephen Wong pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan Mei lalu.

Wong berkata, beliau dan Adun Tanjong Papat dari DAP, Frankie Poon telah menulis surat bagi memohon peruntukan membaiki kesemua 24 jambatan tersebut.

"Itu telah diluluskan, jadi apa kami buat? Kami tunggu sebab kerajaan pusat sudah meluluskan, kami tunggu peruntukan sampai ke Sabah," kata Wong.

Wong berkata, penantian mereka terhenti apabila pertukaran kerajaan persekutuan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada Mac lalu.

"Selepas itu pada bulan Julai, selepas PKP sudah habis, saya pun tanya update daripada Majlis Perbandaran Sandakan, bagaimana itu peruntukan untuk semua jambatan?

"Bolehkah kami mulakan? Sebab sudah tukar kerajaan, saya pun sangat risau. Sebulan selepas itu saya minta update dari Majlis Perbandaran Sandakan, kami pun dapat satu surat, bahawa kesemua RM4.2 juta peruntukan untuk memperbaiki jambatan di Kampung Sim-Sim telahpun dibatalkan tanpa sebab.

"Saya masih ada surat itu, pada masa yang sesuai saya akan pamerkan surat itu supaya rakyat di Kg Sim-Sim tahu bagaimana kerajaan PN buat, apa mereka buat terhadap kamu," katanya.

Selain peruntukan RM4.2 juta itu, Wong berkata dia juga telah memohon dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan berasingan bagi memperbaiki sistem pembentungan di Lorong A hingga Lorong H, kawasan yang didominasi kaum Cina di derah mengundi Sim-Sim.

"Peruntukan itu juga dibatalkan, hampir RM4 juta.

"Jadi kira-kira RM10 juta untuk membangunkan Kg Sim-Sim telah lenyap kerana kerajaan membatalkan tanpa sebab, atau mungkin sebab saya bukan MP dari Perikatan Nasional," katanya.

Poon semalam memberitahu Malaysiakini bahawa masalah jambatan di Kg Sim-Sim adalah masalah yang berterusan kerana tidak tahan lama.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan maklum balas.

Tiada ulasan: