HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 September 2020

Pejuang kalah, tetapi ‘hangat’ di PPBM, kata penganalisis

Pada pilihan raya kecil Slim Sabtu lalu, Barisan Nasional 
mengalahkan calon yang disokong oleh Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim minggu lalu menimbulkan masalah kepada PPBM, walaupun calon yang kalah adalah individu disokong parti Dr Mahathir Mohamad iaitu Pejuang, menurut seorang penganalisis politik dari Singapura.

Norshahril Saat, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak berkata, kemampuan Umno dan PAS untuk menggerakkan ahli akar umbi mereka menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN), sementara PPBM tetap menjadi pemerhati.

Pada Sabtu, calon BN, Mohd Zaidi Aziz, mendapat 13,060 undi menewaskan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi seorang peguam syariah yang disokong oleh Pejuang dengan majoriti 10,945 undi.

“Ini merupakan indikasi kuat bahawa Umno tidak memerlukan PPBM untuk memenangi pilihan raya umum berikutnya,” tulis Norshahril dalam artikel di akhbar South China Morning Post di Hong Kong.

“Perkembangan terkini menunjukkan Umno mahu mendapatkan kembali peranan dominan sebagai parti nasionalis Melayu dengan mengatakan mereka mahu mendapatkan semula kerusi yang hilang daripada PPBM pada 2018,” kata penyelidik itu.

Norshahril berkata, perhatian sudah difokuskan kepada bagaimana Pejuang akan beraksi di Slim, sebagai 1 indikasi mengenai apa yang mungkin dicapai oleh parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) kilat.

Menggambarkan Amir, sebagai calon “kamikaze”, Norshahril berkata Pejuang menyertai persaingan untuk mencuba dan melihat bagaimana orang Melayu akan menerima parti itu, dan sama ada ia perlu bergabung dengan PH jika berlaku PRU kilat.

“Keutamaan Pejuang adalah untuk melemahkan asas sokongan PPBM dengan menerima pembelot.” Motivasinya yang lain adalah untuk menguji sejauh mana ia boleh bergerak sendiri tanpa Pakatan Harapan, dan ia sudah mendapat jawapannya, katanya.

Pejuang mendapati ia memerlukan rakan PH, Amanah, PKR dan DAP untuk membantu menjalankan kempennya.

Walaupun keputusannya disambut dengan menandakan b”berakhirnya era Mahathir”, Norshahril berkata hasil sebenarnya menunjukkan PN, terutama PPBM, tidak berada di landasan yang selamat.

“Ini juga membuktikan Umno mendapat kembali kepercayaan pengundi, terutama orang Melayu dan kolaborasinya dengan PAS berjaya,” katanya.

Keputusan PRK sebelum ini memperkuatkan asas gabungan Umno-PAS, dan Umno akan lebih yakin untuk mendapatkan semula kerusi yang kalah daripada PPBM pada pilihan raya 2018 dan kemudian melalui pembelotan.

Pilihan raya umum kilat akan berpihak kepada kelebihan Umno, katanya, kecuali bekas presiden Najib Razak dan penggantinya Ahmad Zahid Hamidi disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pertuduhan lain.

Tiada ulasan: