HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 September 2020

PN tetapkan 10 asas hala tuju negara


KUALA LUMPUR:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menetapkan 10 asas penting bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, asas itu merangkumi hala tuju ekonomi, pendidikan, agenda Melayu, reformasi sektor kesihatan, integriti, keselamatan dan ketenteraman awam, perpaduan serta pendigitalan negara.

"Asas ini ditetapkan kerana kerajaan PN ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihanraya. Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan.

"Dalam tempoh enam bulan ini, kerajaan PN meletakkan beberapa asas penting yang akan menjadi hala tuju bagi tempoh akan datang," katanya menutup Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)- Pencapaian, Harapan dan Cabaran anjuran Pertubuhan Intektual Negara (PINTAR) di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, asas pertama dari segi ekonomi, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha memulih dan merancakkan semula ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)

"Sepertimana yang berlaku di negara lain, sektor ekonomi di negara kita terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Namun, ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula. InsyaAllah, sekiranya trend pemulihan ini berterusan, negara kita dijangka akan mencatat pertumbuhan positif pada tahun hadapan," katanya.

Muhyiddin berkata, asas kedua, kerajaan PN akan terus memberi tumpuan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan hasil kemakmuran negara dikongsi secara adil dan saksama seluruh warga negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, status sosial dan wilayah.

"Dalam konteks ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan menjadi paksi dasar dan program ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional," katanya.

Asas ketiga pula, kata Muhyiddin, kerajaan PN akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri;" katanya.

Keempat, tegas Perdana Menteri, kerajaan PN akan memberi tumpuan kepada usaha pendigitalan Malaysia menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"Kelima, memastikan Malaysia mempunyai jaminan makanan yang mencukupi akan menjadi salah satu teras utama pentadbiran kerajaan PN manakala asas keenam ialah kerajaan PN akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional.

"Selain itu, usaha-usaha reformasi institusi akan dilaksanakan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang kompeten, telus dan berintegriti;" katanya.

Asas ketujuh, kata Perdana Menteri, kerajaan akan berikan keutamaan sektor pendidikan demi melahirkan modal insan negara yang berkemahiran, berpengetahuan dan berbudi pekerti mulia.

"Oleh demikian, kualiti guru, pensyarah, kurikulum dan infrastruktur pendidikan akan terus dipertingkatkan. Sektor pendidikan negara kita mesti bersedia untuk mendepani pelbagai cabaran baharu termasuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran secara maya," katanya.

Kelapan, Perdana Menteri berkata, kerajaan beri tumpuan untuk reformasi sektor kesihatan dan pandemik COVID-19 menguji kualiti dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.

"Alhamdulillah, kejayaan Malaysia menangani penularan wabak COVID-19 membuktikan negara kita mempunyai sistem kesihatan yang baik. Namun, saya percaya masih banyak ruang-ruang yang boleh diperbaiki," katanya.

Kesembilan, katanya, ia berkaitan aspek keselamatan dan ketenteraman awam akan diberikan keutamaan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Rakyat mesti berasa selamat untuk tinggal di negara ini.

"Usaha-usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, mengawal sempadan negara daripada diceroboh, memelihara kedaulatan wilayah, memerangi keganasan dan menangani masalah pendatang asing tanpa izin akan diberikan keutamaan oleh kerajaan; dan ke-10, perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama akan terus dipupuk dan dipertahankan," katanya

#Sumber :   BH 

MR :   Titik mula yang sukar

Tiada ulasan: