HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 September 2020

Tujuh calon DUN Bugaya ada pertalian keluarga

Muhammad Azizul Osman
MGF17092020_WALKABOUT-MANIS-BUKA-15-681x453Calon Parti Warisan Sabah DUN N.65 Bugaya, Manis Buka Mohd Darah berucap ketika hadir ke program ramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Sungai Tuhok, Bugaya, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN

SEMPORNA – Calon parti Warisan, Datin Manis Buka Mohd Darah mengesahkan kesemua lawannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai pertalian darah dengannya.

Bagaimanapun, jelas Manis Buka, pertembungan itu tidak menghalang beliau bertanding dan mempertahankan kerusi tersebut.

“Di DUN Bugaya ini sebenarnya pertalian keluarga yang lebih dekat, terutama sekali laut dan darat kita mempunyai keluarga yang luas.

“Boleh dikatakan di DUN Bugaya ini hampir keseluruhan adalah keluarga kita sendiri.

“Kesemua calon di kerusi ini adalah keluarga kita,” katanya kepada media di Kampung Sungai Tuhok, DUN Bugaya, hari ini.

Sebelum ini, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi sama, Mohd Daud Tampokong berkata calon daripada Warisan, Manis Buka adalah kakak sepupunya dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Jihek Basanu ada abang sepupu beliau.

Dalam pada itu, Manis berkata calon daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ahmad Kenajaan turut mempunyai pertalian darah dengannya.

“Semua calon keluarga? Ya keluarga. Baik daripada PCS, USNO, Bersatu semuanya keluarga.

“Tetapi itu tak menghalang kita, kerana selepas pilihan raya, pertalian silaturrahim kita tak dapat putuskan. Kekeluargaan itu akan bercantum kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Manis berkata biarpun berdepan pertembungan tujuh penjuru di kerusi DUN Bugaya, namun itu tidak menghalang Warisan untuk kekal disitu.

Manis turut berkata beliau yakin pengundi masih mengundi dirinya berbanding calon-calon lain.

“Pertembungan pada PRN kali ini, DUN Bugaya adalah tujuh penjuru. Tetapi itu tidak menghalang untuk kita terus berjuang dalam parti Warisan.

“Dalam PRU yang lalu, kita masih kekalkan dalam PRN sekarang. Jadi kita yakin bahawa DUN di bugaya akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang lagi dari PRU yg lalu,” katanya lagi.

DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara penyandang Manis Buka Mohd Darah (Warisan Plus) dengan calon USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta dua calon bebas.

USNO diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud Tampokong mewakili PN dan dua calon bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: