PETALING JAYA: Bekas presiden Umno Najib Razak berkata antara cadangan dikemukakan beliau dalam mesyuarat siang tadi ialah Umno mendesak pilihan raya umum (PRU) diadakan selepas pandemik Covid-19 terkawal.
“Saya berpendapat ini adalah pilihan terbaik untuk negara sebab majoriti yang tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah punca politik tak stabil ketika ini.
“Saya juga berpendapat bahawa Muhyiddin mencorak langkah yang salah untuk meminta darurat dalam usaha kekalkan kuasa dan saya bimbang bahawa permintaan dia yang ditolak Agong dan raja-raja Melayu boleh menyebabkan Umno disalahkan pengundi,” katanya dalam catatan di Facebook malam ini.
Dalam pada itu, ahli Parlimen Pekan itu turut mencadangkan jika usaha ke arah PRU ditolak PN, Umno perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain termasuk PKR pimpinan Anwar Ibrahim jika Umno masih tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan Muhyiddin Yassin selepas apa yang berlaku di Sabah.
“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.
“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin (Mohamed Azmin Ali) pada Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli Parlimen Umno, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?,” katanya.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu tidak menolak untuk menyatakan sokongan bersyarat terhadap kerajaan PN sehingga PRU15, pada masa sama berunding supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) diberi peranan lebih besar terutama dalam hal ehwal ekonomi.
“Apapun, itu antara cadangan dan pendapat saya dalam mesyuarat hari ini. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincang cadangan ini.
“Sebagai orang parti, saya akan terus menyokong keputusan majlis kerja tertinggi Umno yang sedang bermesyuarat malam ini,” katanya.
Sementara itu, Najib turut menempelak dakwaan sebuah portal yang beliau mendapat tentangan hebat daripada pemimpin BN ketika mesyuarat parti komponen berkenaan di ibu negara petang tadi.
“Ada portal media yang laporkan seolah-olah saya mendesak semua ahli Parlimen Umno untuk sokong Anwar jadi perdana menteri.
“Tiada sesiapa pun yang serang saya dalam mesyuarat hari ini. Noh Omar tak serang saya dan Nazri tak serang saya. Nazri tak hadir dalam mesyuarat hari ini pun sebab dia ada di Kelantan. (Dakwaan) ini kurang tepat,” katanya.
Portal itu melaporkan pada mesyuarat BN hari ini, cadangan Najib supaya gabungan itu bekerjasama dengan Anwar untuk menggulingkan kerajaan Muhyiddin mendapat tentangan hebat pemimpin Umno.
Dakwa portal itu, antara yang lantang membantah ialah ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz dan ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan