Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
KUALA LUMPUR: Setelah hampir empat jam bermesyuarat, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menolak bekerjasama dengan PKR serta DAP.
Malah, hasil mesyuarat itu turut mencadangkan agar inisiatif Rekonsilasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan penyertaan semua parti politik sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau parti pembangkang.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut yang melangkaui perbezaan ideologi politik penting dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat.
“UMNO menggesa penambahbaikkan prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.
“UMNO juga akan memastikan ketetapan Perhimpunan Agung parti untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis Tertinggi bersidang untuk membincangkan isu-isu dibangkitkan semasa mesyuarat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur petang sebelumnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mendukung sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan segala ketegangan politik bagi memastikan kestabilan negara dipertahankan. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan