Hari ini sahaja berlangsung pertemuan dengan semua presiden parti bagi mendapatkan sokongan untuk Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan belanjawan yang bakal dibentangkan bulan hadapan disokong untuk diluluskan.
Sokongan itu hanya terbatas kepada belanjawan dan tidak kepada kerajaan Muhyiddin keseluruhannya.
Difahamkan Warisan yang diwakili Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyokong belanjawan bakal dibentangkan Muhyiddin.
Persoalan apakah akan timbul konflik di Sabah yang pada masa ini diperintah oleh PN dan Warisan adalah pembangkang, tidak timbul kerana sokongan itu hanya sebatas meluluskan belanjawan.
Apabila belanjawan diluluskan dan keluk penularan virus korona dilandaikan Muhyiddin dijangka membubarkan parlimen pada pertengahan tahun hadapan bagi melaksanakan pilihan raya umum serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.
Malaysiakini dalam pada itu memetik satu sumber UMNO, perjumpaan itu tidak dihadiri presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, pertemuan dengan ketua-ketua parti itu diadakan pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat khas kabinet yang dijadual 10.30 pagi hari ini.
“Kesemua ketua parti termasuk Sabah dan Sarawak hadir ke pertemuan pagi tadi.
“Cuma Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir,” kata sumber itu.
Bagaimanapun, sumber itu tidak mengesahkan sekiranya UMNO menghantar wakilnya untuk menghadiri pertemuan tersebut.
“Itu saya tidak pasti. Yang saya boleh sahkan Zahid tidak hadir.
“Yang kedua, pertemuan ini untuk presiden-presiden parti politik yang sokong PN,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu yang Zahid menukar keputusan untuk tidak hadir pada saat-saat akhir pada pagi ini.
“Sememangnya beliau dijadualkan hadir pada mesyuarat pada pagi ini, namun beliau menukar fikiran pada saat-saat akhir atas keputusan peribadi,” kata sumber tersebut.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Bangunan Perdana Putra, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
Sementara itu Zahid belum memberi respons berhubung mesyuarat pagi ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden Pas Abdul Hadi Awang dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, pagi tadi.
Menteri kabinet mengadakan pertemuan tidak rasmi di rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam tadi setelah Yang Di-Pertuan Agong menolak memberi perkenan untuk mengisytiharkan darurat.
Sumber kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa semua menteri hadir dalam pertemuan yang diadakan beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong secara rasmi menolak permintaan darurat oleh Muhyiddin yang dikemukan pada Jumaat lalu.
Mesyuarat bermula sekitar jam 9 malam dan berakhir sekitar jam 11 malam.
Hari ini juga sepatutnya diadakan pertemuan dengan semua menteri besar, tetapi dibatalkan pada tengah malam tadi. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan