HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Disember 2020

6 ketua kawasan bantah Konvensyen AMANAH Negeri Sembilan

SEREMBAN: Enam daripada lapan Ketua Kawasan Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan menolak penganjuran Konvensyen Amanah Negeri Sembilan yang dijadualkan esok ( Isnin ).

Naib Pengerusi II AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, berkata pada masa sama mereka menuntut pemilihan semula kepemimpinan negeri sebelum konvensyen berkenaan diadakan.

Beliau mendakwa penolakan enam daripada lapan ketua AMANAH di negeri itu dibuat berikutan kepimpinan tertinggi AMANAH Negeri Sembilan ketika ini adalah tidak sah.

"Kepemimpinan tertinggi AMANAH negeri ini sepatutnya membuat pemilihan semula, selepas pelantikan yang dibuat pada November 2019 lalu, terbatal.

"Kami telah menerima maklumat daripada keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi AMANAH Nasional yang meluluskan pemilihan semula pimpinan tertinggi AMANAH Negeri Sembilan, bagaimanapun sehingga kini pemilihan semula itu tidak diadakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua AMANAH Kawasan iaitu Saiful Bahri Jaaman (Jelebu); Abd Rahman Ramli (Jempol); Mustafa Ab Kadir (Rasah); Nasir Raman (Telok Kemang); Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Rembau, Sahrizal Masrudin dan Timbalan Ketua Sayap Wanita Negeri, Rosmihayati Mohd Khairuddin.

Zulkefly yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata, pemilihan semula perlu diadakan bagi empat jawatan tertinggi negeri iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi I dan Naib Pengerusi II.

Beliau berkata, konvensyen itu perlu ditangguhkan terlebih dulu sebelum pemilihan semula kepemimpinan negeri dilakukan.

Menurutnya, pemilihan pimpinan tertinggi AMANAH negeri sebelum ini tidak mengikut perlembagaan yang ditetapkan dan empat jawatan tertinggi ketika ini adalah tidak sah dan perlu diadakan pemilihan semula.

"Saya bersama enam ketua kawasan termasuk sayap wanita, rasa teraniaya dengan ketidakjujuran pimpinan tertinggi AMANAH negeri yang dianggap mengetepikan keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi nasional pada bulan lalu.

"Kami mahukan tatacara permulaan yang betul mengikut lunas perlembagaan dan jika pergolakan ini masih berterusan ia akan menjejaskan AMANAH pada pilihan raya akan datang.

"Oleh sebab ini kita menolak untuk menghadiri konvensyen AMANAH bagi memberi petanda yang jelas bahawa kami semua menolak pimpinan tertinggi AMANAH Negeri Sembilan sedia ada," katanya.

Mengikut struktur kepemimpinan AMANAH Negeri Sembilan ketika ini menunjukkan Zulkefly, gagal mempertahankan jawatan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan bagi penggal 2019-2022.

Jawatan itu kini disandang oleh Timbalan Ketua AMANAH Seremban, MK Ibrahim Abd Rahman yang sebelum ini adalah Naib Pengerusi III, sementara Muhamad Zaki Md Sabri dipilih sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, yang kini dilantik sebagai ahli jawatankuasa.

Sementara itu, EXCO Pertanian dan Industri Makanan negeri, Bakri Sawir, yang sebelum ini memenangi jawatan bendahari dilantik sebagai Naib Pengerusi 1 menggantikan Mustafar Ab Kadir.

Tiada ulasan: