KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan menafikan pembabitannya sebagai antara 10 Ahli Parlimen parti itu yang bertindak menandatangani akaun bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan beliau tidak pernah sesekali mengadakan perbincangan bersama pihak terbabit.
Malah, beliau berkata, sukar baginya sebagai orang UMNO untuk menyokong individu yang ada kaitan dengan DAP kerana bercanggah dengan agenda perjuangan parti berkenaan selama ini.
"Perjuangan DAP berbeza dengan UMNO dalam banyak perkara.
"Sukar untuk seorang UMNO menyokong DAP termasuk saya dan begitu juga pimpinan utama serta ahli UMNO lain.
"Saya tentunya tidak pernah berbincang untuk hal ini, jauh sekali untuk bersama mereka," katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada laporan sebuah portal berita mengenai pembabitan Ahli Parlimen, antaranya dari UMNO yang tersenarai menandatangani SD menyokong Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-sembilan.
Ahmad antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang disenaraikan.
Menurut laporan itu, sembilan lagi yang didakwa menandatangani SD terbabit ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).
Turut didakwa menandatangani SD itu adalah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit) dan Datuk Ahmad Jazlan (Machang).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan