Astro Awani

Walaupun
diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian
suara majoriti, namun ia bukan jalan mudah bagi kerajaan sebelum usul
itu
dibentangkan di Dewan Negara. - Foto Fail / BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat pada Selasa bakal menjadi tumpuan apabila undian
bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021
akan berlangsung.
Walaupun diluluskan di
peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti,
namun ia bukan jalan mudah bagi kerajaan sebelum usul itu dibentangkan
di Dewan Negara.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad secara jelas menyatakan menolak Belanjawan 2021.
Keputusan
Mahathir itu dilihat bakal mempengaruhi tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang
yang lain iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin
Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Malah,
kerajaan juga akan kehilangan satu undi sokongan apabila Ahli Parlimen
Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah secara jelas menyatakan turut tidak
akan mengundi.
Selain itu, Pakatan
Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini turut kekal dengan pendirian
untuk melakukan undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.
Majlis
Setiausaha PH menegaskan, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021
baru-baru ini dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli
Parlimen malah harapan rakyat juga.
Jika diimbas pengundian di peringkat jawatankuasa sebelum ini, blok pembangkang sering membangkitkan undian belah bahagian.
Daripada
27 kementerian, 25 daripadanya sudah melepasi ujian itu di Dewan Rakyat
dengan sebahagian besarnya menerusi undian suara majoriti.
Sementara sembilan kementerian diluluskan menerusi undian belah bahagian iaitu:
- Kementerian Kewangan
- Jabatan Perdana Menteri
- Kementerian Pengangkutan
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
- Kementerian Komunikasi dan Multimedia
- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
- Kementerian Wilayah Persekutuan
Kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan bacaan kali ketiga pada hari yang sama atau ditangguhkan ke hari Rabu.
Beberapa
penganalisis sebelum ini menyatakan, sekiranya kerajaan gagal dalam
pengundian pada bacaan kali ketiga, ia dilihat sebagai cerminan kepada
hilang kepercayaan terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, ada penganalisis yang beranggapan tidak wajar untuk Belanjawan 2021 ditolak.
Namun, dengan majoriti yang dimiliki kerajaan yang begitu tipis ketika ini, segalanya mungkin berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan