KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang melontarkan beberapa persoalan kepada pimpinan tertinggi Pas berhubung kenyataan yang didakwa berbaur perkauman oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini.
Muhammad Sanusi Md Nor dalam pergeseran berhubung perobohan kuil di negeri itu dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dikatakan telah bertindak mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan sehingga penggunaan perkataan seperti ‘minum todi’.
Soal Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri bertanya apakah Pas sanggup menegur Muhammad Sanusi apabila beliau menggunakan perumpamaan “mabuk todi” terhadap pengkritik beliau mengenai isu perobohan kuil di Kuala Kedah.
“Adakah pimpinan Pas bersedia untuk menegur tindakan Menteri Besar Kedah yang mengeluarkan cacian bersifat perkauman yang biadab, tidak sensitif dan tidak boleh diterima dalam satu masyarakat majmuk?
“Adakah pimpinan Pas kini tidak lagi mampu untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan di antara perkara yang adil dan zalim?
“Adakah para pimpinan Pas telah mencapai satu tahap bahawa apa jua yang dilakukan oleh pemimpin Pas tidak boleh dianggap sebagai salah, kononnya hanya orang bukan Islam sahaja yang boleh melakukan kesalahan.
“Adakah ini seperti mana para pimpinan Pas telah mencabuli ajaran Islam dengan mengatakan para pengundi Muslim harus menyokong pemimpin Muslim yang korup berbanding dengan pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur?” soalnya dalam blognya hari ini.
Soal Kit Siang, adakah pimpinan Pas bersetuju dengan pendirian Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoism (MCCBCHST) yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap kenyataan Sanusi.
“MCCBCHST mengatakan yang kuil tersebut telah berada di tapak tersebut selama 50 tahun. Sepatutnya Menteri Besar Kedah mengadakan dialog untuk mencapai penyelesaian yang dapat dipersetujui.
Kata Kit Siang lagi, para pimpinan Pas perlu menjelaskan mengapa mereka meletakkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mampu menghormati dan menghargai kemajmukan budaya untuk menjadi menteri besar Kedah.
“Tiga hari yang lepas, saya telah mengatakan episod biadab Sanusi ini sebagai salah satu “contoh terburuk kakistokrasi” dalam negara kita.
“Saya katakan begini sebelum Sanusi melakukan satu tindakan yang lebih buruk dengan menggunakan perumpamaan “mabuk todi” terhadap pengkritik beliau.
Apakah tindakan para pimpinan Pas mengenai perkara ini?” soalnya. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan