KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuaratnya petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan.
Katanya, Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
”Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 4 ADUN BERSATU, 3 ADUN PAS, 1 ADUN UMNO dan 2 ADUN Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini, petang ini.
Mengulas lebih lanjut perkembangan mengejutkan di Perak itu, Hamzah berkata, Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama Pas dan teman-teman parti anggota Perikatan Nasional yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya.
Peja tewas undi percaya, gagal dapat sokongan jadi MB Perak
Dalam sidang DUN pagi tadi Ahmad Faizal atau dikenali sebagai Peja gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).
Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.
Sebelum itu, hanya dua ADUN UMNO yang mengambil bahagian berbahas iaitu ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd. Manaf Hashim dan ADUN Gunung Semanggol, Datuk Razman Zakaria. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan