HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Disember 2020

Kenapa UMNO - Dato Saarani tak boleh bersabar sikit tunggu PRU-15 untuk jadi MB?

Syukri Shidi.


Dalam banyak perkara saya hormati sikap dan pendirian Umno Perak. Mereka sahabat dan kawan. Kadangkala kalau tak setuju pun, saya senyap sahaja asal bukan kemungkaran yang jelas nyata dan mudarat besar.

Tapi dalam Kenyataan terbaru Umno, mereka mohon sokongan PAS dan Bersatu untuk pertahan kerajaan Perikatan Nasional. Saya anggap ini satu perkara yang pelik sebagai kawan. Umno Perak tidak pernah berbincang tentang perkara ini dengan PAS. Mereka laungkan seruan muafakat bila keadaan jadi begini.

Malahan usul tergempar dimasukkan pada awal pagi tanpa pengetahuan PAS. Habis terbantut pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Perak. Umno susun tanpa pengetahuan PAS. Habis terkejut bila usul tergempar BN-Temenggor & DAP-Pasir Pinji (usul yang sebiji sama) awal-awal pagi sudah dikemukakan oleh Speaker yang juga dari Umno.

Pimpinan Umno usulkan undi percaya pada MB Peja. PAS sokong undi percaya sebagai solidariti bersama Umno Perak. Tapi bila tiba masa pengundian hanya 10 orang sahaja yang sokong. Mana perginya 24 Adun Umno? Sekali lagi PAS ditinggalkan hasil dari gerakan belakang Dato Saarani-Umno. Mereka langsung tidak maklumkan.

Saya secara peribadi sangat tertanya apa yang sebenarnya mereka mahukan. Saya tak faham. Exco Kerajaan negeri, Umnolah yang terbanyak. Ahli Majlis untuk 15 PBT, merekalah terbanyak. MBI sahaja Umno ada 15 dari 24 orang kuota. JPKK pula, mereka jugalah yang terbanyak. MB Peja beri Speaker DUN kepada Umno. Dan sekarang MB Perak pula mereka mahukan. Saya yakin, bukan sahaja saya terfikir begini.

Saya memang tidak faham. Jujur ikhlas dari hati saya.

Sekarang Umno Perak ada 24 Adun tanpa Bersatu dan Pas. Umno perlu cari 6-7 Adun lagi untuk membentuk kerajaan. Saya tidak pasti siapakah akan bersama Umno dalam gerakan kali ini untuk menubuhkan kerajaan. Pilihan yang ada hanyalah Hasnul, Dap, Pkr & Pan. Yang jelas adalah, bakal kerajaan sangat rapuh tanpa ikatan muafakat.

Saya yakin dan percaya sekalipun sikap sebahagian Umno begini, tapi tidak pada ahli-ahli mereka yang ikhlas mahukan penyatuan. Kelompok ini sentiasa ada dalam mana-mana parti melayu. Saya yakin sebab inilah PAS bersabar banyak dalam beberapa siri perbincangan dan rundingan. Dan saya yakin PAS akan terus bersabar. Itulah PAS.

Sahabat saya Umno Perak, maafkanlah saya jika terkasar bahasa, langsung tidak berniat untuk mengguriskan hati kalian. Tapi sampai bila kita mahu begini? Saya sangat risau perkara ini akan merebak ke negeri-negeri lain. Yang Umno pakat jatuhkan itu adalah orang nombor 2 Bersatu Malaysia.

Bersabarlah sikit lagi Dato Saarani Mohamad - Umno. Tidak berapa lama lagi PRU15 akan berlaku sejurus Covid-19 reda. Sabar sikit sahaja lagi Dato. Kasihanilah rakyat. Kasihanilah penjawat awam. Kasihanilah orang susah yang sedang bergelut dengan Covid. Kasihanilah umat yang cintakan perdamaian.

Penulisan saya tidaklah bermaksud untuk menjarakkan hubungan, apatah lagi memisahkan. Saya menulis kerana letih dengan politiking melampau. Sedih dengan apa yang terjadi, dan lagi memedihkan, musuh sedang bersorak gembira. Dilema antara defensif demi penyatuan ummah dan ofensif pada politiking sebegini rupa. Dan saya memaksa untuk memilih yang kedua. Ofensif pada politiking melampau, bukan pada parti kawan mahupun lawan.

Nota: Ini pandangan peribadi saya tanpa berkait sebarang jawatan. Tiada siapa menyuruh atau mengarah. Memang peribadi saya. Saya tahu perkara ini tidak akan disenangi kawan-kawan. Saya minta maaf awal2. - 

( * ) Syukri Shidi, Yang cintakan perdamaian, Yang bencikan politiking melampau. - MINDA RAKYAT

MR : Suara rakyat kebanyakkan tak suka dengan sikap tamak dan gelojoh UMNO.... sabar tunggu PRU-15 baru UMNO tahu siapa mereka

Tiada ulasan: