HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Disember 2020

DAP Perak hidung tak mancung?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

TELAH dijelaskan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan, sejurus selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno berlangsung malam tadi bahawa mesyuarat itu memutuskan ‘Kerajaan PN Perak yang melibatkan ADUN-ADUN Umno, PAS dan BERSATU perlu terus dipertahankan’.

Alih-alih hari ini Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, masih lagi mengeluarkan satu kenyataan media untuk siaran segera mengenai kesediaan DAP Perak bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan satu kerajaan baharu di Perak.

Inilah agaknya apa yang Peribahasa Melayu sebutkan sebagai ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’: Sudah tahu orang tak nak dekat dia masih juga nak tawar diri.

Kenyataan Media Pengerusi DAP Perak

Mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil berikutan kejatuhan Kerajaan PN di Perak pada 4 Disember 2020, DAP Perak telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Umno demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil. 

Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno membuktikan dua perkara: 

(a) DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan. 

(b) Momokan DAP adalah ‘anti Melayu atau anti Islam’ selama ini adalah tidak benar sama sekali. 

Perlu ditegaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip ‘good governance’. Satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat. 

Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran. 

Muafakat PH disanjung, agenda reformasi tetap didukung. DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru tanpa rakan-rakan komponen Pakatan Harapan iaitu PAN dan Keadilan. 

Sekian, terima kasih

NGA KOR MING
Pengerusi DAP PERAK
Tarikh : 8 Disember 2020.

 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: