KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dibawa pembangkang supaya peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dipotong secara keseluruhan.
Keputusan menolak usul supaya peruntukan kepada JASA dipotong sepenuhnya diumumumkan ole Timbalan Yang Dipertua, Rashid Hasnonusan.
Kepututusan menerusi undian suara majoriti bersetuju supaya ia dikekalkan dan tidak dipotong.
Usul supaya peruntukan itu dipotong dan dihapuskan dibuat oleh Wilfred Madius Tangau (Warisan-Tuaran), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PH-Kuantan) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).
Mereka berkata, peruntukan kepada JASA perlu diberikan kepada jabatan dan kementerian lain, seperti Kementerian Kesihatan (KKM), dalam mendepani wabak Covid-19.
Ketika berucap membentangkan usul itu Wilfred berkata, pihaknya menolak peruntukan kepada jabatan berkenaan kerana ia lebih merupakan penyebaran propaganda kerajaan dan dana itu sepatutnya diberikan kepada KKM untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Maria Chin pula berkata, kewujudan JASA atau J-Kom tidak diperlukan ketika ini memandangkan kerajaan sudah mempunyai agensi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat di seluruh negara.
Pendirian Maria Chin disokong oleh Fuziah yang menganggap keputusan kerajaan memotong peruntukan kepada JASA daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta juga ditolak.
Beliau sebaliknya mencadangkan ia dihapuskan secara keseluruhan.
Sementara itu, Mukhriz berkata, dana untuk J-Kom perlu diberi kepada agensi lain dalam KKMM seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan baru.
Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) bagaimanapun menolak usul itu dan menyokong peruntukan kepada J-Kom, sekali gus membidas alasan pembangkang yang sengaja memainkan persepsi kononnya perlu utamakan peruntukan kepada usaha menangani wabak Covid-19.
Katanya, kerajaan tidak pernah mengurangkan belanjawan untuk Covid-19, namun peruntukan kepada kementerian dan jabatan lain juga perlu diberikan bagi memastikan perjalanan dan kebajikan rakyat yang terkesan tidak diabaikan.
Pendirian Nazri disokong Bung Moktar Radin (BN-Kibabatangan) yang memaklumkan bahawa peruntukan kepada kementerian lain perlu diberikan supaya rakyat tidak kelaparan.
“Tuduhan kata J-Kom untuk nak jaga kerajaan sahaja, sampai propaganda kerajaan, bagi saya kalau rakyat tak setuju apa yang dilakukan kerajaan kalau mereka rasa tidak baik, rakyat akan tolak juga walaupun ada J-Kom.
“Jadi bagi saya J-Kom ini baik untuk pastikan maklumat disampaikan kepada rakyat tepat dan peluang pekerjaan diberikan semula kepada kakitangan JASA yang dipecat pada zaman PH sebelum ini,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, J-Kom bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.
“Kaedah yang digunakan ialah membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi, mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme menggunakan pendekatan mengupayakan komuniti.
“Justeru, saya ingin memberi jaminan J-Kom bukan jentera propaganda kerajaan kerana kita mahu menjadikannya komunikasi dua hala. Kita mahu mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat,” katanya.
Saifuddin turut memaklumkan fungsi J-Kom berbeza dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) kerana tugas utama agensi itu ketika ini ialah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan norma baru susulan pandemik Covid-19.
Ketika pembentangan Belanjawan 6 Nov lalu, kerajaan pada awalnya memperuntukkan sebanyak RM85.5 juta kepada JASA yang dijenamakan sebagai J-Kom dib awah KKMM.
Ia kemudiannya dikurangkan sebanyak 50% kepada RM40.5 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan