HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Disember 2020

1 muka baru antara 5 EXCO Perak angkat sumpah

Kumpulan pertama lima EXCO Perak yang mengangkat sumpah hari ini terdiri 
daripada seorang ADUN PPBM dan empat wakil rakyat UMNO. (Gambar Bernama)

KUALA KANGSAR: Setiausaha PPBM Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin antara lima EXCO mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah sebentar tadi.

Zainol, yang dilantik sebagai EXCO kanan, ialah bekas penasihat bertaraf EXCO kepada bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu.

Turut mengangkat sumpah hari ini ialah empat EXCO di bawah pentadbiran terdahulu, iaitu Zolkafly Harun (Lintang), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Dr Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Dalam pentadbiran terdahulu, Zolkafly yang juga ketua penerangan UMNO Perak memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, sementara Shahrul Zaman ialah EXCO Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Norashikin yang juga ketua Wanita UMNO Perak, sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala Khairul Shahril ialah Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia.

Kumpulan pertama lima EXCO Perak yang mengangkat sumpah hari ini terdiri daripada seorang ADUN PPBM dan empat wakil rakyat UMNO.

Difahamkan, pelantikan EXCO lain akan dibuat dalam masa terdekat selepas pemimpin Perikatan Nasional Perak mengadakan perbincangan.

Terdahulu, Menteri Besar Perak yang baru, Saarani Mohamad berkata, pelantikan hari ini bertujuan menyegerakan mesyuarat kerajaan negeri yang pertama untuk meneliti Belanjawan 2021 yang sepatutnya dibentangkan semalam.

Tiada ulasan: