HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Disember 2020

Gesa pembangkang tukar ketua, bayangan hasrat Shafie ke pentas Nasional

Oleh Zanariah Abd Mutalib
PENGANALISIS politik, Prof James Chin.
PENGANALISIS politik, Prof James Chin.

KUALA LUMPUR: Gesaan supaya pembangkang berani menukar kepemimpinan, memberi bayangan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sudah bersedia kembali sebagai pemimpin di peringkat Persekutuan.

Penganalisis politik, Prof James Chin, menyifatkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu menggambarkan hasrat Mohd Shafie selepas meninggalkan arena politik nasional, melalui penubuhan WARISAN pada 2016.

James yang juga Pengarah Asia Institute, University of Tasmania, Australia, berkata latar belakang Mohd Shafie sebagai Naib Presiden UMNO sebelum ini, juga memberi dorongan kepada beliau untuk kembali semula ke pentas yang besar.

"Beliau mempunyai profil di peringkat nasional sebelum menjadi Ketua Menteri Sabah pada 2018. Jadi, beliau mahu kembali kepada kepemimpinan di peringkat nasional.

"Seperti yang diketahui, namanya sebelum ini beberapa kali disebut sebagai pemimpin untuk Pakatan Harapan (PH), yang pada mulanya dikaitkan dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), yang mana saya fikirkan ia adalah baik untuk perpaduan nasional," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Shafie bahawa pembangkang di negara ini perlu berani menukar barisan kepemimpinannya untuk terus maju terutama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mohd Shafie berkata, dalam melihat keperluan perubahan barisan kepimpinan itu, situasi yang terjadi selepas PRU-14 perlu diteliti, yang mana pembangkang yang memenangi PRU itu akhirnya kehilangan kuasa akibat pergolakan dalaman terutama dalam kalangan pemimpin parti.

Mengenai keputusan WARISAN melebarkan sayap ke Semenanjung, James berkata, ia akan menarik banyak keahlian daripada rakyat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung, namun kemungkinan sukar untuk menarik kaum Melayu di sini.

"Pada pandangan saya, peluang untuk parti baharu bertapak di Semenanjung agak terhad, jadi sukar untuk ditembusi WARISAN. Di kawasan bandar juga sukar kerana adanya DAP.

"Bagaimanapun, peluang itu tetap ada terutama untuk menarik mereka yang tidak sukakan parti berasaskan kaum dan cenderung kepada parti pelbagai kaum," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata pembangkang perlu mempunyai rancangan peralihan kepemimpinan yang jelas dan tidak boleh hanya tertumpu kepada seseorang pemimpin saja.

"Sampai bila mahu bergantung kepada pemimpin yang lama, mesti ada pelan penggantian yang jelas.

"Justeru, pemimpin baharu mesti bersedia dan disokong oleh ahli parti. Mesej ini bukan saja untuk parti pembangkang, tetapi semua parti politik," katanya.

Ditanya sama ada cadangan Mohd Shafie itu boleh diterima pembangkang terutama hasrat PH supaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri masih belum tercapai, Mohd Izani berkata, tumpuan keterlaluan kepada seseorang pemimpin tidak baik untuk kelestarian parti politik.

"Perjuangan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sudah melewati 20 tahun. Soalnya, ia sudah cukup lama atau perlu beri lagi masa kepada beliau.

"Banyak perubahan parti terganggu dan tersekat apabila parti hanya bergantung kepada individu tertentu," katanya.

Selain itu, beliau sependapat, WARISAN sebagai parti tempatan di Sabah, akan sukar mendapat sokongan di Semenanjung.

"Apakah isu yang hendak dibawa nanti? Ia hanya akan memecah-belahkan masyarakat jika masuk ke Semenanjung," katanya.

Tiada ulasan: