Bernama

Belanjawan
pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat
pada Selasa apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021)
tersebut memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR:
Semua pihak, sama ada pemimpin masyarakat mahupun rakyat, perlu
berhenti mempersoalkan isu berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021
(Belanjawan 2021) yang diluluskan semalam dan berganding bahu membantu
memulihkan ekonomi negara, kata seorang pakar ekonomi.
Pensyarah
kanan Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
berkata kerajaan kini perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan segala
perancangan Belanjawan 2021 selain memulihkan sentimen pelabur dan
menarik balik pelaburan asing ke Malaysia.
"Rakyat
(pula) perlu bantu negara dalam pemulihan ekonomi dengan menukar cara
kerja lama dan tingkatkan produktiviti," katanya ketika menjadi tetamu
program Ruang Bicara bertajuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Lulus:
Politik Matang Demi Rakyat dan Negara, terbitan Bernama TV malam tadi.
Seorang
lagi tetamu program berkenaan, pensyarah kanan Jabatan Pengajian,
Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan di Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Norazlan Hadi Yaakob berkata
Belanjawan 2021 yang diluluskan itu menunjukkan impak positif apabila
pasaran saham dilihat terus mencatat peningkatan.
"Tidak
kiralah Belanjawan 2021 diluluskan dengan kelebihan hanya tiga undi
kerana satu undi tetap dikira menang dalam sistem demokrasi," katanya.
Belanjawan
pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat
hari ini apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021)
tersebut memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.
Rang
undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan
kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul
Aziz, yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju
dan seorang tidak hadir.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan