on
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman
menyifatkan tindakan Adun-adun Umno di Perak yang bersengkongkol dengan
pembangkang untuk menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ahmad
Faizal Azumu sebagai satu pengkhianatan.
Dia berkata tindakan itu hanya mencetuskan ketidakstabilan politik yang
mampu memberikan tempias terhadap kerjasama antara Perikatan Nasional dan BN
di peringkat pusat serta negeri yang lain.
“Secara peribadi saya melihat tindakan Adun-adun Umno di Perak yang
bersengkongkol dengan pembangkang khususnya DAP untuk menumbangkan menteri
besar kerajaan mereka sendiri sebagai khianat persepakatan dan gilakan kuasa
politik ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat wabak
Covid-19.
“Ia tindakan mensabotaj dan tikam belakang ketika kerajaan sedang menghadapi
saat getir untuk memulihkan negara.
“Ia juga menggambarkan bahawa ada sesetengah pemimpin dari Umno rela
mengkhianati perpaduan ummah demi mahukan kuasa untuk puak mereka sahaja,”
katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Katanya, susulan perkembangan situasi Bersatu di Perak, tidak mustahil
selepas ini PAS juga boleh menjadi mangsa politik Umno.
Pada sidang DUN Perak pagi tadi, Faizal yang juga Adun Chenderiang dan
Timbalan Presiden Bersatu membuat keputusan akan berundur daripada
jawatannya sebagai menteri besar selepas gagal mendapat sokongan majoriti
daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi percaya yang diusulkan
oleh Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashimdari Umno.
Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya.
Manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Oleh itu, Faiz berkata budi bicara serta kebijaksanaan Sultan Perak amat
diperlukan untuk menentukan sama ada wajar mandat kepimpinan negeri
diserahkan kembali kepada rakyat melalui PRN atau baginda ada cara lain
mengikut perlembagaan negeri Perak.
Bagaimanapun, katanya sama ada Bersatu akan menyertai kerajaan baru di Perak
ataupun tidak, ia masih belum diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi
parti. – Mkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan