KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, memberitahu Dewan Rakyat krisis politik di negeri itu sudah selesai dan kesepakatan dicapai antara parti Perikatan Nasional (PN) dari PAS dan PPBM, dan UMNO
Faizal, yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata pertemuan enam mata melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin; dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Parlimen hari ini membawa penyelesaian itu.
“Setelah dirujuk oleh YB Bagan Datuk (Zahid) dan juga YB Marang (Hadi) saya mendapat tahu masalah di Perak sudah selesai,” katanya, disambut sorakan di Dewan Rakyat.
Faizal mengumumkan perkembangan itu ketika diapit Zahid dan Hadi di kiri dan kanan beliau.
Timbalan presiden PPBM itu menarik perhatian Dewan Rakyat kepada krisis di Perak sebelum membahaskan isu geran sekali-beli RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan dalam peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Difahamkan pertemuan tiga ketua parti itu membincangkan situasi politik di Perak termasuk pelantikan menteri besar baharu dari UMNO.
PAS sebelum ini menetapkan tidak mahu melibatkan diri dalam pembentukan kerajaan negeri baharu Perak susulan penyingkiran Faizal sebagai menteri besar menerusi undi percaya terhadapnya di DUN Perak minggu lalu.
Usul itu dibentangkan oleh Umno, namun 24 daripada 25 ADUN parti itu menolak Faizal, sekali gus memaksanya meletak jawatan dan menimbulkan tanda tanya mengenai nasib kerajaan negeri Perikatan Nasional.
Umno menuntut jawatan itu dan ekoran ‘kemarahan’ PPBM dan PAS, dilaporkan meraih sokongan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun kalangan ADUN Umno dan DAP menolak kerjasama itu.
Zahid semalam berkata Umno sudah memperolehi sokongan majoriti terhadap calonnya untuk jawatan MB Perak yang diuar-uarkan sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Saarani Mohammad.
Bagaimana Istana Perak mengumumkan petang semalam, Sultan Nazrin Shah belum diyakinkan mana-mana pihak memperolehi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.
Manakala Saarani dilaporkan memaklumkan baginda bahawa Umno meneruskan rundingan dengan pelbagai pihak mengenai penubuhkan kerajaan baharu.
Penyelesaian krisis Perak, jika benar sebagaimana yang dibayangkan oleh Faizal hari ini, bererti kerajaan negeri akan terus diterajui oleh Perikatan Nasional.
Ia juga membawa maksud Umno-PAS-PPBM berjaya merungkai permasalahan mereka yang dibayangi dengan kemelut dan ketegangan akibat “Langkah Perak” oleh Umno untuk menumbangkan Faizal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan