HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Disember 2020

PPBM, PAS setuju sokong calon Umno Saarani Mohammad sebagai MB Perak

KUALA LUMPUR : Umno, PPBM dan PAS bersetuju mencadangkan pengerusI Umno negeri Saarani Mohammad sebagai menteri besar baharu Perak.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut memohon maaf atas “kekhilafan” yang berlaku sehingga memaksa timbalan presiden PPBM Ahmad Faisal Azumu meletak jawatan sebagai menteri besar minggu lalu.

Pernyataan maaf Zahid itu dicatat dalam kenyataan bersama Umno-Barisan Nasional, PPBM dan PAS yang ditandatangani oleh setiausaha agung ketiga-tiga parti itu.

Menurut kenyataan itu, Zahid yang juga pengerusi BN, memohon maaf dalam perjumpaan dengan presiden PPBM Muhyiddin Yassin dan presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

“Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN Perak atas kekhilafan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Umno-BN, PPBM dan PAS juga mencapai persetujuan mengenai pelantikan jawatan-jawatan lain dalam pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional baharu yang diterajui oleh Umno.

“Atas semangat permuafakatan PN, ketiga-tiga parti bersetuju mencadangkan Saarani Mohammad sebagai menteri besar yang baharu untuk diperkenankan oleh Sultan Perak,” menurut kenyataan itu.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN Perak dan juga diperingkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.

Krisis politik Perak tercetus apabila 24 daripada 25 ADUN Umno Perak menolak Faizal sebagai menteri besar menerusi usul percaya yang dibentangkan parti itu di DUN Perak.

Dalam tindak balas, PAS menetapkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu Perak, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan Perikatan Nasional di negeri itu dan juga di peringkat nasional.

Tiada ulasan: