HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Pemerintahan negara ini mestilah
melibatkan pimpinan masyarakat majmuk di mana tidak memadai dengan
pimpinan Melayu-Islam sahaja, tetapi juga daripada kaum lain.
Presiden
PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional
yang mengambil alih pemerintahan daripada Pakatan Harapan berjaya
membentuk koalisi itu dalam kerajaan.
Jelas beliau, walaupun kerjasama itu longgar yang sebut sebagai ta’awun
yakni kerjasama tanpa melibatkan dasar parti masing-masing, tetapi
ianya mahu menyelesaikan masalah negara yang menghadapi kemelut.
“Alhamdulillah kita telah berjaya membentuk kerajaan, dapat melangsungkan suatu pentadbiran yang baik dan lebih baik daripada yang lalu, dalam keadaan kita menghadapi COVID-19 yang mencabar di seluruh dunia.
“Kerajaan dapat menghadapi dengan cara yang baik. Walaupun berlaku isu-isu yang ditimbulkan, isu itu sehingga ini tidak boleh menjejaskan kedudukan kerajaan.
“Sehingga ini kita telah berjaya mendapat kepercayaan Ahli Parlimen walaupun simple majority, tentu memboleh kerajaan melaksanakan jenteranya dengan baik,” ujarnya pada Majlis Ramah Mesra Media di Pejabat Agung PAS, di sini sebentar tadi.
Akui beliau, walaupun kerajaan diambil alih melalui wakil-wakil rakyat dan bukan undian rakyat secara langsung, tetapi pembentukan kerajaan ini adalah melalui wakil-wakil rakyat yang diundi oleh rakyat.
“Apa yang penting wakil rakyat ini menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Itu yang perlu kita gerakkan. Dengan sebab itu kita tidak gentar menghadapi PRU15.
“Kerana kita menggerakkan wakil-wakil rakyat kita yang dipilih oleh rakyat, walaupun dia dah pindah parti. Itu yang pentingnya ialah rakyat melihat dia menjalankan tugas,” jelasnya.
Pembahagian kerusi
Ditanya mengenai pembahagian kerusi pilihan raya antara parti-parti tersebut yang terlibat dalam gabungan besar bersama itu, PAS jelasnya tidak mahu gopoh memandangkan pilihan raya belum diketahui.
“Apa yang penting ialah kita dapat membahagi kerusi dengan cara yang saksama, dapat membentuk kerajaan yang kukuh di masa akan datang,” ujar beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah.
Menyentuh dakwaan terdapat kumpulan-kumpulan dalam parti yang menggugat Muafakat Nasional, beliau menegaskan bahawa PAS mengadakan kerjasama dengan Umno di atas sifat parti bukan kumpulan.
Terangnya juga penyertaan PAS dalam Kerajaan Pusat dan Kabinet, membolehkan berperanan termasuk untuk menggerakkan jentera-jentera kerajaan mengikut konsep pentadbiran negara di mana setakat ini dapat bertugas dengan baik.
PAS juga katanya, bersama-sama merangka kementerian-kementerian yang lain kerana kepimpinan negara berpandukan kepada konsep kolektif dan bukannya diktatorship atau satu parti yang memerintah.
“Yang penting, kita menjalankan tugas untuk perpaduan nasional dan rakyat, itu yang penting. Orang nak nama kita king maker ke apa, itu terpulang kepada orang. Kita bergerak secara kolektif, sama-sama mendapat faedah, sama-sama menunaikan tanggungjawab bersama.
“Apa yang penting ialah kita dapat menubuhkan satu kerajaan yang berjaya, yang baik, yang telus, yang dapat menjalankan pentadbiran dengan sebaik-baiknya,” ujar Ahli Parlimen Marang itu. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan