PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad secara bertulis menafikan beliau yang merancang penubuhan Perikatan Nasional, mengatakan sudah pasti beliau kekal sebagai perdana menteri jika begitu keadaannya.
Jika ada sesiapa yang “beria-ia” merancang menubuh kerajaan PN dan
keluar Pakatan Harapan (PH) sudah pasti ianya bekas timbalan presiden
PKR, Azmin Ali, dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, “yang mendapat
hasil paling lumayan”, katanya dalam kenyataan.
“PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh Umno secara
‘en-bloc’,” katanya. “Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak
apabila ia menjadi kenyataan.”
Bekas perdana menteri ini mengulas suatu laporan yang memetik Azmin sebagai berkata pembentukan PN cetusan idea Mahathir, bertujuan untuk memastikan Mahathir kekal sebagai perdana menteri dengan sokongan pelbagai parti.
Bagaimanapun, pengunduran Mahathir pada awal tahun ini menyebabkan pelan itu tidak berjalan lancar dan meletakkan negara dalam krisis politik. Jika Muhyiddin tidak bertindak dalam masa singkat, katanya, “orang lain mungkin sudah bergegas ke Istana”.
“Satu-satunya pilihan bagi saya dan Muhyiddin pada masa itu ialah meninggalkan PH,” kata Azmin.
Mahathir bagaimanapun menarik perhatian kepada peristiwa sekitar
penubuhan PN, termasuk pemilihan PKR, yang menyaksikan pertembungan
sengit antara Azmin dan Rafizi Ramli, dan suatu video yang dikaitkan
dengan Azmin.
“Jangan lupa ketika semua ini berlaku, kedudukan Azmin dalam PKR dan juga PH amat terancam,” katanya, dan kerana itu, katanya, beliau faham kenapa Azmin merancang Langkah Sheraton.
“Jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar akan berpeluang menjadi perdana menteri. Di masa yang sama, Azmin juga bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.”
Mahathir juga mendedahkan Muhyiddin dan seorang lagi pemimpin PPBM, Hamzah Zainuddin, cuba meyakinkan beliau bahawa Anwar dan DAP sedang merancang menjatuhkannya dan kerana itu perlu bergabung dengan parti Melayu lain.
Namun ketika itu, Umno didakwanya menghasut kumpulan Melayu supaya membenci PH dan menabur “dusta” mengenai pelbagai isu seperti Statut Rom, Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum, kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Harimau Pembebasan Tamil Eelam, dan Tabung Haji.
Situasi itu mendorong beliau menghadiri dan menerajui Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt 2019, daripada membenarkan “kleptokrat gunakan sebagai pentas untuk memanjangkan agenda perkauman”.
“Yang hari ini diguna sebagai tuduhan terhadap saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan