HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Disember 2020

Sungai Muda: Pulau Pinang dan Kedah diseru berunding

USTAZ HANIF HARON
 

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang sepenuh yakin dan percaya bahawa isu sumber air mentah yang berbangkit antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dipermudahkan di meja rundingan.

Secara khusus melibatkan pengambilan air mentah daripada Sungai Muda di mana sumber tadahannya terhasil dari kawasan hijau Ulu Muda yang telah dipelihara Kedah sejak tahun 1960-an. Komitmen Kedah itu merupakan satu pengorbanan yang mesti dihormati dan diberikan penghargaan.

Besarnya penggunaan air mentah dari Sungai Muda itu oleh Pulau Pinang direkodkan sebanyak 1,100 juta liter padu sehari yang jauh lebih tinggi daripada Kedah sebanyak 800 juta liter padu sehari.

Bermakna, negeri ini telah mendapat sumber air secara percuma daripada aliran dan tadahan berasal dari Kedah itu. Namun, dalam konteks pengurusan semasa yang memberi nilai kepada sumber bumi, Kedah tidak menerima hasil dari ‘harta’ mereka itu, sedangkan kita di negeri ini menikmatinya dan menjana kekayaan serta pembangunan negeri.

Perkara ini bukan baharu diperkatakan, tetapi sejak daripada pemerintahan kerajaan-kerajaan sebelum ini yang difahamkan tuntutan secara rasmi telah dikemukakan Kerajaan Negeri Kedah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2010.

Malah, kedua pihak pernah merekodkan kesediaan berunding dan persefahaman sebelum ini khususnya dapat dilihat kepada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow dan mantan Menteri Besar Kedah, YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini.

Tetapi kini apabila nada dan pendirian itu berubah yang mungkin dipengaruhi latar belakang kedua pihak berlainan koalisi politik, ianya nyara tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sama sekali.

Bahkan, jika Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang merupakan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah sendiri boleh bertindak membayar caj penggunaan sumber mentah itu kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), kenapa tidak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)?

Tuntutan RM50 juta itu tentunya boleh dirundingi, setelah pula Pulau Pinang menerima banyak faedah dari sumber air yang terhasil dari komitmen dan pengorbanan Kedah itu. Pembayaran tersebut bukan sahaja akan mengeratkan lagi hubungan dua negeri adik-beradik ini, paling utama sama-sama menjana kemakmuran dan masa depan Koridor Utara ini. Faedahnya tidak lain, pasti akan mengalir untuk rakyat di kedua-dua negeri, termasuk juga Perlis.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mahu melihat atas semangat politik dan pentadbiran matang, YAB Tuan Chow Kon Yeow dapat menerima ajakan berunding dari Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor. Kerana kita tidak mahu sebarang pertikaian bukan sahaja akan mengeruhkan sumber bekalan air dinikmati selama ini, tetapi generasi akan datang terancam atas kelestarian sumber yang tidak dipertahankan.

Oleh itu, pemuliharaan dan pemeliharaannya adalah tanggungjawab kita yang hidup di era ini di mana kami sangat yakin rundingan juga akan dapat memajukan dan menggembleng segala kepakaran bersama dimiliki kedua negeri berjiran ini. Seluruh rakyat pasti menanti detik bersejarah ini demi masa depan bersama.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Memimpin Negara”

USTAZ HANIF HARON
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang
 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: