HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Disember 2020

Tiada masalah kerjasama UMNO-DAP jika selari perjuangan parti masing-masing

Hasimi Muhamad
Tiada masalah kerjasama UMNO-DAP jika selari perjuangan parti masing-masing
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berpandangan, 
mana-mana kerjasama politik harus mempunyai hala tuju yang sama.
 
KUALA LUMPUR: Tiada masalah untuk melakukan kerjasama politik antara UMNO dan DAP jika kedua-duanya bersedia untuk bersetuju terhadap perjuangan masing-masing seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan parti. 
 
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berpandangan, mana-mana kerjasama politik harus mempunyai hala tuju yang sama.
 
"Walau bagaimanapun, sekiranya kesediaan untuk bersetuju kepada perkara-perkara yang menjadi perjuangan kepada kedua-dua parti, sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan masing-masing, saya fikir itu tidak ada masalah.
 
"Cuma saya nampak jurang itu agak besar antara UMNO dan DAP sekiranya melihat kepada dasar dan asas perjuangan mereka masing-masing.
 
"Sebab saya percaya dalam parti politik itu, mereka sama ada parti politik mana-mana sekali pun mereka hendaklah juga tertakluk kepada asas perjuangan ataupun asas kepada prinsip-prinsip yang mereka bawa melalui parti masing-masing," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Selasa.
 
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai asas perjuangan yang berbeza, namun kerjasama antara parti-parti berkenaan boleh dilaksanakan.
 
"Tetapi kita tidak nafikan bahawa semua parti mahu memperjuangkan tentang kedudukan rakyat ataupun kemaslahatan rakyat.
 
"Jadi, itu adalah perjuangan asas ataupun prinsip asas kepada sebuah sistem demokrasi. Tetapi kalau kita lihat kepada sistem perjuangan parti itu sendiri, ia mungkin ada perbezaan-perbezaan tertentu antara kedua-dua parti politik ini terutamanya yang menjadi isu sekarang adalah DAP dan UMNO.
 
"Saya juga meneliti kedua-dua Perlembagaan parti ini menunjukkan sekiranya parti-parti politik ini masih bersandarkan kepada Perlembagaan, maka saya fikir jurangnya agak jauh antara UMNO dan DAP," jelas beliau lagi.
 
Ditanya mengenai hubungan UMNO dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) pula, Shamrahayu berkata, masih ada ruang untuk kedua-dua parti itu meneruskan kerjasama yang sedia terjalin.
 
Katanya, apa yang berlaku antara parti terbesar Melayu itu dan Bersatu hanya melibatkan masalah individu dalam parti politik.
 
"Maknanya apa yang UMNO suarakan sebelum ini tentang Menteri Besar (Perak) itu secara individu, bukannya dari segi antara parti itu secara keseluruhannya.
 
"Jadi, saya nampak sekiranya masih lagi mempunyai perjuangan yang sama antara UMNO dan PPBM, mengikut asas perjuangan masing-masing, saya fikir apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini, apa yang dipersetujui dan dinyatakan oleh UMNO selepas peristiwa tentang usul undi percaya yang gagal itu, saya fikir masih ada ruang antara UMNO dengan PPBM.
 
"Sebagai rakyat pula, saya nampak parti-parti politik haruslah kembali sama ada UMNO PPBM, atau DAP itu sendiri kepada apa yang mereka asaskan atau apa perjuangan mereka mengikut Perlembagaan masing-masing," katanya.
 
Terdahulu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran baharu di Perak seiring krisis politik yang melanda negeri itu.
 
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Menteri Besar yang lalu dapat dikekalkan.

Tiada ulasan: