HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Februari 2021

Tun Mahathir hairan Tommy Thomas tidak faham isu kejatuhan PH

Irwan Muhammad Zain
Tun Mahathir hairan Tommy Thomas tidak faham isu kejatuhan PH
Dr Mahathir menjelaskan, biarpun dilabelkan diktator, beliau tetap meletak jawatan 
pada 2003 kerana merasakan telah terlalu lama sebagai perdana menteri. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau hairan bagaimana seorang peguam seperti Tan Sri Tommy Thomas tidak faham tentang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
 
Dr Mahathir dalam satu tulisan panjangnya menjawab dakwaan Tommy dalam memoirnya 'My Story: Justice in the Wilderness', berkata beliau tidak faham bagaimana seorang peguam tidak faham apa yang berlaku bukan isu pertukaran perdana menteri.
 
Jelas Dr Mahathir, kerajaan PH telah tumbang dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tidak boleh dilantik sebagai sebagai pemangku PM kerana tidak mempunyai majoriti.
 
"Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Agong tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai Pemangku PM.
 
"Sama seperti saya, dia juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Azmin dari PKR atau Parti Keadilan. Samalah juga dengan Kabinet," katanya.
 
Dr Mahathir menjelaskan, beliau sering dilabelkan sebagai diktator oleh pembangkang ketika menjadi perdana menteri.
 
Kata Dr Mahathir, tidak pelik jika pembangkang tidak bersetuju dengan beliau, kerana itu memang sifat pembangkang.
 
Namun Dr Mahathir menjelaskan, biarpun dilabelkan diktator, beliau tetap meletak jawatan pada 2003 kerana merasakan telah terlalu lama sebagai perdana menteri.
 
"Tulisannya berkenaan peletakan jawatan saya cukup hebat. Saya selalu dilabel diktator oleh pembangkang ketika jadi Perdana Menteri. Tak mungkin pembangkang akan puja saya.
 
"Itu bukan sifat pembangkang. Tetapi saya letak jawatan pada 2003 kerana rasa terlalu lama jadi PM. Diktator biasanya tidak akan letak jawatan.
 
"Tapi sudah pasti yang menentang saya tidak akan berhenti mendakwa saya diktator," katanya lagi.
Dr Mahathir turut menjelaskan tentang dakwaan Tommy dalam memoirnya bahawa Kabinet tidak sepatutnya dibubarkan apabila perdana menteri meletak jawatan.
 
Beliau memetik Perkara 43 (4) Perlembagaan Negara yang menyebut bahawa jemaah Kabinet juga perlu dibubarkan sekiranya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
 
"Berkenaan Kabinet pula, apabila PH hilang majoriti, Kabinet juga tidak dapat kekal. Perkara 43 (4) Perlembagaan menyebut “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," tulis Dr Mahathir.
 
Jelas beliau, apa yang berlaku pada tahun 1969 tidak sama dengan yang terjadi pada tahun 2020 kerana kerajaan Perikatan tidak ditumbangkan seperti PH.
 
"Ini berbeza dengan 1969, apabila Perikatan punyai majoriti. Ia tidak ditumbangkan seperti PH. Tunku dijangka akan jadi PM.
 
"Tetapi darurat diisytihar, MAGERAN ditubuh dan dipimpin oleh Tun Razak. Kemudian Tunku letak jawatan dan Tun Razak dilantik sebagai PM.
 
"Dia masih punyai majoriti kerana Perikatan telah menang dalam pilihan raya," katanya.
 
Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak meminta Wan Azizah menjadi perdana menteri interim selepas beliau meletak jawatan.
 
"Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk Perdana Menteri Interim. Saya terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 Ahli Parlimen mengambil masa yang lama.
 
"Negara perlukan Ketua Kerajaan sementara. Setelah ahli parlimen pilih Perdana Menteri baru, pelantikan saya terhenti.
 
"Tetapi Ahli Parlimen tidak berikan majoriti jelas, Anwar peroleh 92 manakala saya 62 undi.
 
"Ya. Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat peletakan Kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan," jelas beliau.
 
Dalam memoirnya, Tommy mendakwa Yang Dipertuan Agong mahukan Wan Azizah dilantik sebagai perdana menteri interim namun Dr Mahathir menamakan dirinya sendiri untuk jawatan itu biarpun telah meletak jawatan.

Tiada ulasan: