HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Februari 2021

Saya dan Tommy baik sahaja, malah cadangkan anugerah Tan Sri untuknya - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Saya dan Tommy baik sahaja, malah cadangkan anugerah Tan Sri untuknya - Tun Mahathir
Dr Mahathir tegas dengan keputusannya pilih Tommy Thomas biarpun langkah 
lantik Peguam Negara bukan Melayu akan terima kecaman hebat. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa hubungan beliau dan Tan Sri Tommy Thomas baik-baik sahaja sewaktu kedua-duanya menjawat jawatan tinggi dalam Kerajaan Pakatan Harapan.
 
Dalam catatan terbaharu di blognya hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, malah beliau sendiri yang mencadangkan anugerah Tan Sri kepada bekas Peguam Negara itu sewaktu tempoh khidmat Tommy hampir tamat.
 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedar langkah untuk melantik seorang peguam bukan Melayu untuk menjawat jawatan itu bakal menerima kecaman, tetapi beliau berasakan ia adalah keputusan terbaik pada waktu itu.
 
“Pas tidak pernah secara langsung minta untuk dia (Tommy) digugurkan. Tetapi saya telah terima banyak kecaman kerana dia, dan saya fikir dia tidak perlu lagi disambung perkhidmatan setelah tamat.
 
“Tetapi apabila saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tommy datang berjumpa saya untuk beritahu yang memandangkan saya yang lantik dia dan saya bukan lagi PM maka dia juga rasa perlu letak jawatan,” katanya lagi.
 
Mengimbas kembali sewaktu beliau bakal dilantik menjadi Perdana Menteri semula, Dr Mahathir berkata, Tommy pernah datang berjumpa dengannya sambil ditemani dua peguam iaitu Zainur Zakaria, dan Datuk Ambiga Sreenevasan.
 
Beliau berkata, Zainur pada waktu itu mencadangkan agar Tommy dilantik sebagai Peguam Negara.
 
“Pada masa itu saya kecewa dengan sebilangan Peguam Negara Melayu yang bersedia untuk taat kepada Perdana Menteri (Najib) walaupun disuruh melakukan sesuatu yang salah. Saya fikir ia satu perkara yang baik untuk lantik Peguam Negara bukan Melayu.
 
“Apabila saya jadi Perdana Menteri ke-7, saya putuskan untuk lantik Tommy Thomas. Saya sedar orang Melayu tidak akan suka. Tetapi Peguam Negara Melayu tidak bersungguh dalam profesion mereka,” katanya lagi.
 
Secara umum, Dr Mahathir berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi Tommy biar pun terdapat beberapa kes yang agak kontroversi, dan menyebabkan kemarahan orang Melayu kepadanya memuncak.

Tiada ulasan: