NOTA EDITOR: Artikel ini dikemas kini untuk menunjukkan bahawa Chow kemudian dibebaskan dengan jaminan, sementara 18 pekebun durian ditahan semalaman dan polis akan memohon reman pagi ini
Adun Tras Chow Yu Hui ditahan polis di tengah pertikaian berterusan antara pekebun durian dan pihak berkuasa negeri di Raub, Pahang.
Chow ditahan petang semalam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas awamnya.
Adun DAP itu menemani pekebun durian ke tanah yang menjadi pertikaian undang-undang antara pengusaha duiran dan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri mendakwa para pekebun itu melakukan aktiviti kebun haram dan berusaha mengusir mereka kerana telah menyewakan tanah tersebut kepada sebuah perusahaan yang merancang penanaman duriannya sendiri.
Syarikat itu, Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP), adalah usaha sama antara kerajaan negeri dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Pahang.
Pertikaian terbaru bermula ketika pekebun durian berusaha menuai hasil mereka di tanah yang dipertikaikan tetapi dihalang oleh Jabatan Perhutanan dan polis.
Para pekebun menyatakan bahawa mereka memiliki hak untuk memasuki tanah itu kerana mereka telah mendapat penangguhan terhadap pengusiran mereka dari Mahkamah Rayuan.
Ini sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengusiran mereka.
Meskipun mahkamah memberi penangguhan itu, pekebun durian tidak dibenarkan masuk ke tanah berkenaan, yang menyebabkan kebuntuan, kata Save Musang King Alliance (Samka), yang terdiri daripada pekebun durian dalam perselisihan undang-undang itu.
Samka berkata polis juga menahan 18 pekebun durian untuk disoal siasat.
Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, atas dakwaan menceroboh.
Pada pukul 1.32 pagi tadi, Chow kemudian menyatakan bahawa dia telah dibebaskan dengan jaminan, tetapi menambah pekebun durian terus ditahan semalaman dan polis akan memohon reman hari ini.
Presiden Samka Wilson Chang juga mendakwa pihak berkuasa telah datang ke tanah berkenaan untuk menebang beberapa pokok durian di sana.
"Mereka mula menebang pokok hari ini, mereka menebang sekitar 200 pokok milik tiga petani," katanya.
Bagaimanapun, China Press memetik Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Yasin mempertahankan operasi tersebut.
Dia menegaskan bahawa petugas terlibat tidak melanggar perintah penangguhan mahkamah ketika mereka menebang pokok durian yang ditanam di hutan simpan.
Hizamri berkata, kawasan yang dibersihkan itu bukan di tanah yang menjadi pertikaian antara pekebun durian dan RPDR-PKPP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan