HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Julai 2021

Alhamdulillah kalau Zahid tukar kerusi sebelah Anwar, kata pemimpin PKR


Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ia sangat dialu-alukan sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar kedudukan kerusinya di Parlimen untuk duduk sebelah cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata seorang pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata amat bersyukur sekiranya Zahid mengambil langkah sedemikian untuk duduk bersama sebelah blok pembangkang, ia bagaimanapun terserah kepada tuan punya badan untuk membuat keputusan tersebut.

“Saya mengalu-alukan. Sebab yang penting adalah keabsahan, terpulang kepada Zahid sama ada nak kekal bersama PN (Perikatan Nasional) ataupun tidak, kalau duduk di pembangkang, Alhamdulillah,” katanya kepada Agenda Daily.

Apabila ditanya sama ada Abdullah Sani akan membuat tawaran tersebut kepada Zahid, beliau berkata hubungannya dengan Zahid amat baik dan menganggapnya sebagai seorang guru.

“Saya memang baik dengan dia (Zahid), dia guru saya. Saya ni budak kecil je, dia Presiden, tak ada lah saya nak call dia,” katanya lagi.

Menurutnya, perkara yang lebih penting adalah mengembalikan mandat rakyat dan sebarang bentuk sokongan ke arah tersebut sangat diperlukan sekarang ini.

“Perbincangan kerjasama UMNO PKR ni saya tidak terlibat, saya hanyalah ahli parlimen kecil yang tidak ada platform untuk membolehkan saya berbicara dalam hal ini.

“Tetapi saya tidak kira sesiapa sahaja, janji boleh bantu untuk perkukuhkan mandat rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Agenda Daily melaporkan seorang penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata Zahid boleh memohon untuk menukar kerusinya duduk sebelah blok pembangkang semasa sidang Parlimen berlangsung nanti bagi membuktikan pendirian partinya yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

“Keputusan dan pendirian parti yang diumumkan oleh Zahid itu tidak memberi kesan kepada kerajaan dan beliau perlu memohon di Parlimen untuk menukar kedudukan kerusinya semasa sidang Dewan Rakyat nanti.

“Beliau perlu buktikan keputusan dibuat partinya semasa sidang Parlimen berlangsung nanti… Permohonan tersebut perlu dilakukan semasa berlangsung sidang nanti,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Zahid selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi mengumumkan keputusan UMNO yang menuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Namun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

Tiada ulasan: