HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Julai 2021

Berdepan kes rasuah, Zahid kena letak jawatan, kata ahli MT


Seorang ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak meletakan jawatannya kerana dianggap liabiliti kepada parti dan akan memberi kesan buruk kepada parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Gesaan itu dinyatakan seorang ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menyifatkan kes mahkamah yang dihadapi Zahid memberikan persepsi buruk kepada parti dan rakyat pasti akan menolak UMNO dalam PRU15 nanti.

“Kalau dia (Zahid) gentleman, punyai semangat, berjiwa besar, maka letaklah jawatan. Ini adalah lebih baik untuk UMNO.

“Dalam keadaan sekarang ramai yakin kepada UMNO dan menjadi harapan rakyat. Tapi dengan presiden ada kes mahkamah (rasuah), mampukah UMNO mendapat sokongan rakyat,” kata beliau dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Gesaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dibuat menjelang Mesyuarat MT UMNO malam ini yang dikatakan Zahid akan mendesak supaya ketetapan dibuat untuk Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, beberapa media melaporkan Zahid mengakui suaranya dalam rakaman klip audio yang tular bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin menjadi kenyataan susulan tindak tanduk Zahid yang berusaha untuk membawa UMNO keluar daripada PN.

UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat MT malam ini secara online dan bakal memuktamadkan keputusan sama ada MP UMNO akan kekal dalam kerajaan PN atau sebaliknya.

Bagaimanapun sumber parti memberitahu kemungkinan besar Zahid akan cuba mendesak MT membuat ketetapan MP UMNO perlu meninggalkan kerajaan PN.

Tiada ulasan: