HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Julai 2021

Dakwaan CSA dengan PN helah untuk matikan langkah Umno, kata PH

Pakatan Harapan (PH) berpendapat, dakwaan gabungan itu membuat perjanjian dengan Perikatan Nasional (PN) mempunyai helah tertentu bagi menyelamatkan kerajaan sekarang.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasuition Ismail, berkata pihak terbabit sengaja membangkitkan dakwaan berkenaan demi mengimbangi pendirian semasa Umno terhadap PN.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR itu diminta Malaysiakini mengulas mengenai beberapa audio yang tular mendakwa ada perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA) dicapai di antara PN dan pembangkang menjelang pembukaan parlimen hujung bulan ini.

Antara pemimpin yang membuat dakwaan itu ialah bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman. Terbaru tular pula rakaman audio yang 'dibocorkan' didakwa dibuat Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan audio tular itu individu didakwa Ismail Sabri menyatakan kerajaan PN tidak akan jatuh walaupun Umno menarik balik sokongan mereka kerana PH sudah membuat CSA.

Dipercayai, audio itu dirakam ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini.

"PH menganggap ini percubaan Ismail untuk menghalang atau mematikan langkah yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin," kata Saifuddin Nasution.

Untuk rekod pada 7 Julai lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan MT parti itu untuk menarik sokongan ahli parlimen mereka kepada Muhyiddin. 

Bagaimanapun arahan itu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan apabila kabinet tiada mana-mana menteri PN dari Umno yang berundur dari jawatan masing-masing.

Malah tidak sampai seminggu selepas keputusan itu dibacakan Ahmad Zahid, semua menteri - termasuk ahli parlimen Umno - menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Muhyiddin. 

Presiden Bersatu itu kini sedang berdepan dengan tanda tanya mengenai tahap sokongan yang diterimanya daripada ahli parlimen bagi melayakkan dia kekal sebagai perdana menteri.

Saifuddin berkata PH tidak ada membuat persefahaman CSA dengan PN.

"Semua parti dalam PH berpendirian, tiada keperluan untuk kami membuat CSA dengan PN," katanya.

CSA merupakan kesepakatan atau konsensus bahawa ahli parlimen pembangkang tidak menolak belanjawan kerajaan dan tidak mengusulkan undi tidak percaya kepada kerajaan.

Sebagai balasan, perdana menteri perlu memberi peluang dan akses kepada pembangkang mencadangkan sesuatu dasar.

Umno yang kini mempunyai 36 ahli parlimen di Dewan. Setakat ini tidak dapat dipastikan bagaimana kedudukan atau pendirian ahli parlimen Umno yang tidak menyertai kabinet Muhyiddin.

Tiada ulasan: