HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Julai 2021

I dah lepas… U belum. Betulkah ini kata-kata Ku Nan kepada Najib dan Zahid?


Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa pihak sejak semalam membuat pelbagai andaian berhubung pembebasan Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang diputuskan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu.

Dalam keputusan 2-1 panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman, mahkamah melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Selepas keluar dari mahkamah berkenaan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan dikatakan sempat mengaminkan doa dibaca seorang pengikutnya, susulan keputusan itu.

Tular juga di media sosial gambar Ku Nan dan beberapa penyokongnya mengaminkan doa dibacakan.

Beberapa pihak kemudian mendakwa Ku Nan menghubungi bekas bossnya Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Agenda Daily yang turut dihubungi pembaca bertanyakan perkara itu bagaimanapun tidak dapat memastikan kebenarannya. Usaha menghubungi Ku Nan setakat ini bagaimanapun gagal, tetapi masih diteruskan.

Antara lain Ku Nan didakwa berkata kepada Najib dan Zahid bahawa gilirannya sudah lepas dan sekarang menunggu giliran kedua-duanya pula untuk diputuskan oleh mahkamah.

“I dah lepas, U belum”. Itu antara kata-kata yang didakwa dinyatakan Ku Nan kepada Najib dan Zahid. Bagaimanapun Agenda Daily tidak dapat memastikan kebenaran kata-kata itu.

Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaminkan doa dibaca selepas Mahkamah Rayuan pada Jumaat (16 Julai 2021) membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah.

Najib kini sedang berdepan beberapa tuduhan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Najib kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 18 Mei lalu Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar hujah pembelaan Najib dan pendakwaan selama 15 hari.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. Bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan bila keputusan rayuan itu akan dibuat.

Sementara Zahid pula sedang menunggu keputusan kesnya setelah Mahkamah Tinggi pada 2 Julai lalu menetapkan penghujahan 47 pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkannya didengar selama enam hari bermula 5 Ogos ini, sebelum keputusan sama ada beliau dibebaskan atau diperintah membela diri.

Penghujahan lisan pada akhir kes pendakwaan itu dijadualkan didengar di mahkamah terbuka di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 5, 6, 9, 11, 13 dan 24 Ogos.

Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes pada hari ke-53 perbicaraan selepas mengemukakan keterangan 99 saksi.

Kedua-duanya Najib dan Zahid juga kini berdepan beberapa pertuduhan lain di mahkamah membabitkan jutaan ringgit

Tiada ulasan: