HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Julai 2021

Lokman Adam dipenjara sebulan kerana mengugut saksi kes 1MDB

Bernama

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Najib Razak.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya berkata responden (Lokman) melakukan penghinaan dengan mengancam Amhari yang merupakan saksi pendakwaan ke-8.

“Saya dapati tindakan responden membuat laporan polis dan membuat kenyataan media, terjumlah kepada suatu ugutan terhadap PW8 (Amhari) dan pihak lain sebagai saksi yang berpotensi dalam kes perbicaraan ini.

“Mahkamah ini mendapati responden bersalah kerana menghina mahkamah dan perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan mulai hari ini,” kata hakim.

Hakim Sequerah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan membabitkan jumlah bon RM3,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Sequerah seterusnya berkata bahawa Lokman tidak mempunyai urusan untuk menentukan sama ada Amhari benar atau sebaliknya ketika dia memberi keterangan.

“Lokman mempunyai niat buruk (mala fide) ketika dia membuat laporan polis dan kemudian membuat kenyataan media ketika Amhari masih memberikan bukti. Tidak ada kekaburan dalam tuduhan penghinaan yang dibuat terhadap Lokman,” katanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata bahawa ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan tidak berlaku kontak fizikal dalam kes ini.

“Saksi tidak pernah mengadu bahawa dia diugut atau pernah berlari ke pihak pendakwaan dan berkata  bahawa ‘saya rasa terancam’,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram berpendapat bahawa responden tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

“Lokman bukan sekadar membuat laporan tetapi terus mengulangi kandungannya kepada media. Dia harus dijatuhi hukuman penjara kerana memburukkan lagi keadaan. Sebelum ini, mahkamah menjatuhi hukuman penjara antara empat hingga enam bulan dalam semua kes menghina mahkamah.

“Keputusan anda akan menjadi penyelamat kepada bakal saksi. Lokman adalah penyokong kuat Najib, ‘pernah mempunyai pengaruh yang kuat’,” katanya sambil menambah bahawa Lokman bukan individu yang tidak berpendidikan.

Shafee juga meminta penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya ke Mahkamah Rayuan, namun timbalan pendakwa raya Mohamad Mustafa P Kunyalam membantah permohonan tersebut dengan alasan bahawa responden tidak mempunyai sebarang keadaan khusus untuk diberikan penangguhan.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah telah memberi kebenaran kepada peguam negara ketika itu Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah telah menolak permohonan Lokman untuk mengenepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas telah memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon agar satu perintah dikeluarkan agar Lokman dihukum penjara atau didenda atas tindakannya.

Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan tersebut.

Katanya matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.

Tiada ulasan: