HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Julai 2021

Nazri tidak sensitif, abai tanggungjawab

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN

 
MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz didakwa menunjukkan sikap angkuh dan sombong kerana tidak mempedulikan rakyat yang ketika ini semakin terjejas akibat pandemik Covid-19 yang masih mengganas dalam negara.

Dalam satu kenyataan, Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Padang Rengas, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan wakil rakyat itu amat mengecewakan kerana seolah-olah tidak mengendahkan rakyat terutama di kawasan Padang Rengas.

“Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan hampa melihat gelagat wakil rakyat yang tidak sensitif dengan keadaan semasa tatkala rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Negara kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang parah dan usah pula kita menunjukkan sikap yang sombong dan angkuh. Keadaan sekarang menuntut pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk turun ke lapangan dan melihat sendiri permasalahan dan derita yang dialami oleh rakyat sama ada di kawasan bandar dan luar bandar,” dakwanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Nazri menerusi laman instagram milik isterinya, Datin Seri Haflin Saiful berkata, beliau telah dipilih oleh penduduk di Padang Rengas sejak tahun 1995 dan sejak itu, beliau terus mengungguli kawasan itu selama enam penggal.

Tambahnya, orang ramai tidak perlu mengajar beliau cara berkhidmat untuk penduduk Padang Rengas dan tidak kisah tentang rakyat Malaysia di kawasan lain.

Orang ramai mula mempertikaikan tindakan wakil rakyat itu yang telah membawa isteri serta anaknya berusia lima tahun ke Perancis dan mula memuat naik gambar mereka seperti sedang bercuti yang dilihat seperti tidak sensitif dengan keadaan semasa di Malaysia.

Muhammad Kamil turut berkata, dalam keadaan negara sedang mengalami krisis untuk melawan wabak dengan pelbagai masalah namun Nazri tiada di Malaysia untuk memberi bantuan sewajarnya sedangkan beliau adalah wakil rakyat yang sepatutnya bertanggungjawab menggalas tugas membantu penduduk Padang Rengas.

“Ketika mana kes jangkitan harian dan kematian covid-19 terus mencatatkan angka yang tinggi, adalah wajar bagi seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk menunjukkan sikap yang lebih merendah diri dengan menangguhkan sebarang aktiviti yang dikategorikan sebagai ‘non-essential’ dan menumpukan perhatian terhadap kelompok masyarakat yang terkesan dan tidak bernasib baik pada waktu ini terutama di kawasan yang diwakili beliau.

“Negara sedang berhadapan dengan isu berkaitan pandemik bantuan asas, pengangguran, kos sara hidup, capaian internet untuk pembelajaran atas talian, masalah kekurangan peranti dan sebagainya, wakil rakyat ini telah memilih untuk meninggalkan rakyat yang sedang menderita terutamanya di kawasan Padang Rengas,” dakwanya. UTUSAN

Tiada ulasan: