HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Julai 2021

Pejuang mungkin boikot sidang Parlimen

Muhammad Azizul Osman
MGF030920_PC-PEJUANG-10
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan bertindak memboikot pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 26 Julai ini sekiranya sesi perbahasan dan perbentangan usul tidak dibenarkan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu akan diambil partinya seandainya kerajaan hanya bercadang mengadakan taklimat lisan di Parlimen.

“Kita nak tahu sama ada perbahasan atau tidak, kalau ada perbahasan atau usul kami akan hadir.

“Kalau tidak ada, kami akan fikir sama ada kami akan hadir atau tidak, kami akan fikir kemudian belum ada keputusan,” katanya dalam sidang media maya Pejuang, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Mukhriz, Timbalannya Datuk Marzuki Yahya dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

Pejuang sebelum ini berkata, parti itu telah mengemukakan dua usul berkaitan darurat dan penubuhan Majlis Pemulihan Negara untuk melawan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan pemberitahuan mesyuarat khas dikeluarkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dengan persidangan berlangsung selama lima hari bermula 26 Julai hingga 2 Ogos depan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu  turut mempersoalkan alasan ahli Parlimen perlu menghadiri sidang Parlimen lima hari mulai 26 Julai ini, jika ia sekadar untuk mendengar penjelasan kerajaan.

Katanya, mesyuarat itu sekadar helah untuk menunjukkan sidang Parlimen diadakan sedangkan ia bukan seperti yang difikirkan semua orang.

“Kalau kerajaan ingin memberitahu kepada Parlimen mengenai sesuatu perkara yang melanda negara, biasanya kerajaan menyediakan Kertas Putih yang boleh diberi kepada ahli-ahli Parlimen.

“Mereka boleh soal apa yang terdapat dalam Kertas Putih itu, tetapi ini bukan Kertas Putih tetapi nak bagi taklimat kepada wakil rakyat, kami sudah tahu apa yang kerajaan nak buat, jadi tidak perlu ada taklimat seperti ini.

“Ini bukan persidangan Parlimen, oleh kerana Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya diadakan sidang Parlimen sebelum tamat darurat, mereka ini secara olok-olok buat sidang Parlimen tetapi tidak ada perbahasan dan usul,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut menjawab mengenai dakwaan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa beliau gembira dengan berita ada ‘perbincangan’ di antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr. Mahathir, baru-baru ini.

Mahathir menafikan beliau ada bertemu dengan Muhyiddin.

“Tidak ada jumpa langsung, tiada hubungan langsung dengan Muhyiddin,” katanya menjawab pertanyaan media.

Rais berkata, tidak menjadi kesalahan jika terdapat perbincangan antara kedua-dua mereka kerana ini dilihat akan menyatukan parti-parti Melayu yang sudah terpecah.

“Berita-berita Tun M bincang-bincang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin kalau betul pun, apa salah?

“Mereka kan pembikin (pengasas) Bersatu? Kalau tambah dengan Presiden Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) lebih baik. Bersatu kita. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Saya paling suka,” katanya menerusi satu ciapan di Twitternya, pada Isnin lalu.

Pejuang dalam satu kenyataan semalam turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu akan kembali menjalankan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: