KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri perlu dibawa untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) malam ini.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, Menteri Kanan Keselamatan itu masih ahli Parlimen UMNO dan pelantikannya akan memberi kesan kepada parti daripada pucuk pimpinan hingga ke akar umbi.
Oleh itu, kata beliau, pelantikan Naib Presiden UMNO itu perlu dibincangkan bersama dalam parti untuk mencapai konsensus.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada sahabat saya (Ismail Sabri) ke atas pelantikan ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Walaupun pelantikan jawatan itu adalah hak dan prerogatif Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang dia suka, (tetapi) pelantikan ini perlu dibawa untuk dibincang di mesyuarat MT malam ini.
“Dia adalah seorang yang layak dan berpengalaman untuk memegang jawatan tersebut, namun masa dan keadaan sekitar pelantikannya ini amat tidak sesuai,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Selain Ismail Sabri, seorang lagi ahli Parlimen dari UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan.
Pelantikan dua pemimpin ini sudah telah disembah maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta merta.
Isham percaya, pelantikan itu kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang terdesak dan partinya kini berada di ambang kejatuhan.
“Lalu dia ingin menggunakan UMNO sekali lagi untuk menyelamatkan dirinya dan partinya PPBM. Dia tahu, apabila Parlimen dibuka kelak, nasibnya dan PPBM adalah malap.
“Rakyat sedang marah dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah gagal menangani wabak Covid-19 yang semakin hari semakin buruk.
“Keadaan seperti ini sebenarnya pernah berlaku dahulu iaitu semasa Langkah Sheraton, di mana ketika itu rakyat menolak kerajaan PPBM yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Katanya, apabila hampir tumbang, PPBM terpaksa mengorak Langkah Sheraton dan meminta UMNO untuk menyelamatkan mereka, namun mereka masih tidak mampu mentadbir negara dengan cekap dan akibat dasar yang teruk rakyat menjadi mangsa.
Kali ini, menurut beliau, PPBM di ambang kejatuhan lagi dan sekali lagi mereka minta UMNO menolongnya untuk mengekalkan kuasa.
“Saya harap kali ini pemimpin UMNO membuat keputusan yang bijak dan tepat. Akar umbi UMNO sudah lama nampak permainan politik PPBM ini yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan kelambatan negara untuk keluar daripada wabak Covid-19 ini.
“MT UMNO perlu buat keputusan sama ada mahu menerima atau tidak tawaran Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin dan PPBM ini. Jika terima, keadaan politik tidak akan banyak berubah, ketidakstabilan politik masih akan berlaku.
“Malah mungkin menjadi lebih teruk dan akan timbul masalah dalaman dalam UMNO yang akan menyebabkan perpecahan,” katanya.
Beliau menjelaskan, dasar kerajaan PN gagal berterusan dan rakyat akan terus menanggung sengsara ke atas kegagalan dasar itu.
“Janganlah kita dipatuk ular dua kali,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan