HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2021

Sidang Parlimen kali ini satu 'penipuan', kata Anwar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berpendapat sidang parlimen yang bakal diadakan semula selama lima hari bermula 26 Julai ini adalah "satu bentuk penipuan".

Anwar berkata ini kerana sidang tersebut, seperti yang dinyatakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, adalah bertentangan dengan tujuannya.

“Sidang parlimen selalunya untuk pastikan kerajaan ditadbir menurut peraturan tata kelola tadbir urus yang elok supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa dan ada semak dan imbang.

“Tapi apa yang cuba dilakukan saya rasa satu bentuk penipuan kerana memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan yang terbuka,” kata presiden PKR itu dalam video ringkas di Facebook hari ini.

Terdahulu, kebimbangan sama turut disuarakan oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang, antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Ia setelah PMO dalam kenyataan yang dikeluarkan tidak menyebut mengenai perbahasan dewan.

Sebaliknya, PMO berkata persidangan ini bertujuan untuk memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan diadakan secara hibrid.

Berdasarkan kenyataan PMO, perkara yang akan "dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen" adalah seperti berikut:

  • Pengisytiharan Darurat
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) 2021
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (No. 2) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Tabung Amanah Negara) (Pindaan) 2021

Mengulas lanjut, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson memberi peringatan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional bahawa pihaknya tidak akan memandang ringan perkara itu.

Katanya lagi, tujuan gesaan agar Parlimen kembali bersidang adalah agar penularan wabak Covid-19 serta kebajikan dan peruntukan untuk rakyat dapat dibahaskan.

“Jangan cuba mengguna peraturan sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen iaitu menggunakan parlimen sebagai medan bahas untuk menjaga perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah, menjalankan tugas dan kuasa mengikut undang-undang,” katanya lagi.

Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan perisytiharan darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos.

Bagaimanapun pada bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah bertitah sebanyak dua kali bahawa ia perlu kembali diadakan secepat mungkin.

Tiada ulasan: