HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Julai 2021

Terbukti klip audio Anwar-Zahid benar, cita-cita dan matlamat sudah tercapai


Penarikan diri UMNO daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional membuktikan kebenaran wujud perancangan strategi antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana perbualan mereka dalam klip audio yang tular April lalu.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam tadi membuktikan kebenaran apa yang diperkatakan dalam klip audio antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kedua-duanya berbual selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, Mac lalu.

Keputusan itu juga membuktikan bahawa Zahid menyusun perancangan dengan memberi tekanan terakhir kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagaimana ‘strategi’ yang dikatakannya ketika perbualan dengan Anwar itu.

Dalam perbualan yang sangat mesra antara cikgu dan anak murid itu, Zahid menjelaskan kepada Anwar berhubung ucapan dasarnya ketika PAU itu adalah sebahagian daripada strategi – dipercayai merujuk kepada kenyataan ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’.

“Don’t worry that is only tactical ok (jangan risau, itu hanya strategi),” beritahu Zahid kepada Anwar selepas Presiden PKR itu memberitahu beliau sudah mengikuti PAU selama 22 tahun.

Zahid juga memberitahu Anwar seolah-olah majoriti ahli MT berada dalam genggamannya setelah ketua pembangkang itu membangkitkan ‘kerja’ yang perlu dilakukan terhadap MT dan ‘menamatkan semuanya’.

Zahid dalam ucapan penggulungannya menyuarakan hasrat MT telah menerima mandat untuk menentukan tarikh sesuai bagi kesemua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO melepaskan kedudukan mereka.

Dan pada penghujung perbualan, Anwar turut mengingatkan Zahid mengenai langkah selanjutnya yang perlu dilakukan segera.

“Cuma now tak habis kita ada sikit lagi tu nak kena… because kalau kata la you dapat ni…. maknanya dia kena emergency MT tau,” kata Anwar.

Ternyata benar kedua-duanya mempunyai perancangan dan strategi tersusun sejak lama dahulu untuk menjatuhkan kerajaan PN apabila MT UMNO malam tadi menarik sokongan terhadap PN sebagaimana diumumkan Zahid.

Dengan memiliki penyokong yang lebih di dalam keanggotaan MT malam tadi, Zahid tentunya dapat mempengaruhi mesyuarat untuk bertindak demikian sekali gus menjayakan rancangannya bersama Anwar.

April lalu, Agenda Daily mendedahkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU), tular di media sosial.

Perbualan mereka sangat mesra dengan kedua-duanya saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU 2020  berlangsung.

Kedua-duanya kemudian membuat penafian bersungguh-sungguh dengan mendakwa kononnya klip audio tersebut adalah komplot politik jahat untuk menyerang mereka berdua, dan mereka akan membuat laporan polis. Tetapi sehingga kini mereka tidak berbuat demikian.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat perbualan seperti dalam klip audio dan ingin menegaskan bahawa tidak ada perbualan antara saya dan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,” kata Zahid dalam kenyataan pada April lalu selepas tular klip audio tersebut.

Tiada ulasan: