Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berjanji akan melawan sebarang usaha pembentukan jajaran baharu bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, perlu mengotakan janji dan membuktikan keberaniannya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah membuat pengesahan ketulenan surat sokongan dan klip audio menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri (PM) dalam jajaran baharu, menurut laporan Astro Awani hari ini.
Dalam satu kenyataan di ruangan akaun Facebooknya, Asyraf berkata beliau akan menjadi orang pertama menentang sebarang langkah untuk mengangkat Anwar sebagai PM atau bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan baharu nanti.
“Saya orang pertama akan menentang kalau parti nak menyokong Anwar sebagai PM ataupun mewujudkan Kerajaan DAP-PH Lead Government.
“Ini bertentangan dengan pendirian keseluruhan Pemuda 191 Bahagian dan keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). So jangan cipta persepsi bukan-bukan!” katanya membalas kenyataan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini.
Tun Faisal sebelum itu membidas Asyraf sebagai seorang yang berpendidikan agama tidak wajar bersubahat dengan penipuan yang sedang dilakukan Zahid.
“Sebagai orang yang berpendidikan agama, Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak wajar bersubahat dengan penipuan Presiden dan usaha Presiden membawa jajaran baharu dengan Anwar dan DAP,” katanya.
Selepas pendedahan hari ini berhubung pengakuan Zahid semasa pertemuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Wisma Perwira semalam, adakah Asyraf masih mahu mempertahankan Presiden yang terang-terang mahu melanggar ketetapan dan pendirian parti itu?
Kenyataan Tun Faisal tersebut adalah tepat kepada batang hidung Asyraf dan sebagai seorang kononnya berpegang kepada prinsip adalah lebih mulia sekiranya beliau sendiri bangkit menegakkan kebenaran.
Asyraf tidak boleh lagi dilihat sebagai Ketua Pemuda UMNO yang hanya dicucuk hidung dan mengikut telunjuk hawa nafsu Presiden yang mempunyai kepentingan diri sendiri.
UMNO bukan parti Sendirian Berhad yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya sehingga mengakibatkan berlaku perpecahan dan krisis dalaman yang semakin parah.
Terdahulu, Astro Awani mendedahkan rakaman klip audio tular dengan Anwar disahkan ketulenannya oleh Zahid sendiri semasa pertemuan semalam.
Sumber memberitahu Astro Awani, Zahid membuat pengakuan itu dihadapan MP UMNO dan BN semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam itu.
“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau (Zahid) mengaku kepada semua itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu selain telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber yang dipetik Astro Awani itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan