HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

Jangan heret rakyat dalam pertelingkahan dalam Umno – Pejuang

MALASIA POST

Jangan heret rakyat dalam pertelingkahan dalam Umno – Pejuang

PARTI Pejuang Tanahair (PEJUANG) menolak tindakan Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pertelingkahan dalaman Umno tidak sepatutnya mengheret seluruh rakyat Melaka ke dalam kancah politik melalui pilihan raya.

Apatah lagi katanya, Melaka baru saja beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kes Covid-19 masih tinggi di seluruh negara melepasi 9,000 hari ini dengan 200 kes dicatatkan di Melaka.

“Sepatutnya kepimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) peka dengan kadar jangkitan Covid-19 yang menular ke seluruh negara sejurus selepas PRN Sabah.

“Adakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?

“Tidakkah Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan agar dikurangkan suhu politik dan diutamakan kesejahteraan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata sebaiknya keputusan untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan mengadakan PRN ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat.

“Pemimpin Umno dan PN di peringkat pusat dan negeri dituntut untuk ketepikan kepentingan peribadi dan parti, hentikan politik toksik, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat terkehadapan,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: