HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

PRN Melaka peluang rakyat ajar pemimpin tamak kuasa 2

 MALAYSIA POST

PRN Melaka peluang rakyat ajar pemimpin tamak kuasa

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka adalah peluang bagi rakyat negeri itu mengajar mereka yang tamak kepada kuasa, kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, rakyat Melaka boleh menilai sikap dan peribadi pemimpin yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada ketika masyarakat masih sengsara akibat kesan pandemik.

“Rakyat Melaka, ajarlah mereka yang tamak kepada kuasa ini di saat peluang sebegini.

“Nilailah sikap dan peribadi dengan ketamakan ditunjukkan itu, serta kejahatan yang dilakukan sebelum ini, di saat masyarakat yang sengsara mereka sibukkan dengan takhta dan kuasa, mereka tak peduli pun terhadap apa yang sengsara dalam kalangan umat ini,” katanya.

Ahmad Dusuki berkata, mereka yang terlibat tidak layak memimpin ummah dan beliau meminta rakyat supaya memilih pemimpin beragama.

“Pilihlah pemimpin yang ada padanya agama, tunduk kepada Allah yang esa, bukan berpura pura, tetapi pemimpin yang boleh bawa kita ke syurga. Ingat tu.. selamat berhari pilihan raya!, wahai orang Melaka, Islam pernah memimpin bumi Melaka suatu ketika,” katanya.

Beliau turut berkongsi tangkap layar laporan berita mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi membolehkan PRN diadakan.

Semalam, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.

Ia susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyaksikan kerajaan negeri sedia ada kehilangan majoriti. – Malaysiapost

Kredit Foto: Salam MY

Tiada ulasan: