HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

Umno tahu beza intan dan kaca – Ahmad Zahid

MALAYSIA POST

Umno tahu beza intan dan kaca – Ahmad Zahid

UMNO hanya menerima ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang benar-benar ikhlas serta jujur kembali ke pangkuan parti, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Umno pastinya sangat berhati-hati dalam menerima sebarang permohonan pimpinan Bersatu walau berlapang dada dalam perkara ini.

“Seperti biasa setiap permohonan diteliti terlebih dahulu dan setiap sudut diperhalusi termasuk kemungkinan ia suatu liabiliti atau aset kepada Umno.

“Presiden Umno sama seperti anda tidak pernah melupakan bagaimana sebahagian mereka meninggalkan perjuangan Umno untuk bersama Bersatu.

“Kemudian bermuafakat dengan PH/DAP melancarkan fitnah demi fitnah terhadap Umno serta pimpinannya. Terlalu rakus mahu merebut kuasa sehingga tiada lagi halal dan haram dalam tutur kata serta perbuatan mahupun kaedah,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, ramai berpendapat terdapat beberapa faktor mengapa ahli dan pemimpin Bersatu meninggalkan Umno sebelum atau selepas PRU-14.

Menurutnya, pertama, berkait kenaifan apabila turut terpedaya dengan dakyah dan tohmahan Bersatu ke atas Umno serta pimpinannya.

“Kedua membabitkan jiwa kecil ekoran takut berdepan serangan maha zalim kerajaan baharu sejurus Umno tewas dalam PRU-14.

“Ketiga mementingkan diri demi mengekalkan keselesaan dan kesenangan hidup seperti yang kita sedang saksikan ketika ini.

“Insya-Allah, Umno tahu yang mana intan dan yang mana kaca, yang mana jujur dan yang mana beragenda songsang mahu kembali ke pangkuan parti,” katanya.

Justeru, beliau berharap, Setiausaha Agung Bersatu yang kelihatan sangat kurang senang dengan perkembangan itu supaya tidak terlalu khuatir dan risau.

“Sebilangan ahli dan pimpinan Bersatu merisik peluang kembali kepada Umno bukan propaganda politik, tetapi Umno akan terima yang jujur sahaja,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: