Fareez Azman
AHMAD
ZAHID: "Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional
(BN) secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik."
MELAKA:
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi gambaran
kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat
direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ia
diadakan kelak.
Perkara itu
dimaklumkannya dalam sebuah program bual bicara bertajuk 'Jawab, Saya
Tanya' bertajuk 'PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?' pada Selasa malam.
"Oleh
kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada
cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil
yang pernah diadakan.
"Biarlah
UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo,
dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik," kata Ahmad Zahid.
Tambah Ahmad Zahid, sebagai ahli politik, beliau tidak pernah kecewa meskipun dikhianati.
"Saya
tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita
harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita
harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.
"Cukuplah
kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang
kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak.
"Saya fikir itu harus dinilai semula," katanya lagi.
Mengulas
lanjut berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), jelas Presiden UMNO itu beliau menghormati keputusan dan
ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk memutuskan
kerjasama dengan Bersatu.
"Ketetapan
telah dibuat dan saya sebagai Presiden menghormati bahawa di dalam
PRU-15 nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.
"Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka.
"Saya
harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini, adalah ekoran
daripada suara hati dan suara hati politik mereka," katanya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini dibubarkan kerana
Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan
Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh
pembubaran itu.
Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - Datuk
Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai
Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk
Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) hilang kepercayaan dan menarik
sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan