HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Oktober 2021

PRN Melaka: Pengumuman besar SPR Isnin ini?

Astro Awani
PRN Melaka: Pengumuman besar SPR Isnin ini?
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh. - Gambar fail
 
MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dijangka mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Isnin depan.
 
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di salah sebuah hotel di sini.
 
"Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR yang akan
 
membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
 
"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut," jelasnya lagi.
 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.
 
Ia selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
 
Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Tiada ulasan: