HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Oktober 2021

Politik Melaka: Tular audio perbualan, Idris nafi itu suaranya

Fareez Azman
Politik Melaka: Tular audio perbualan, Idris nafi itu suaranya
Idris bagaimanapun menafikan suara dalam rakaman perbualan telefon tersebut adalah miliknya. - Gambar fail/BERNAMA
 
AYER KEROH: Ketika suhu politik di Negeri Melaka terus panas susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, tular pula satu klip audio yang didakwa mirip suara bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Dalami klip audio tersebut, dua suara yang didakwa milik kedua-dua pemimpin itu antara lain mengulas tindakan bekas ADUN Sungai Udang itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
 
Suara yang didakwa mirip Idris itu turut memaklumkan bahawa sebuah parti pembangkang bersetuju agar beliau menjadi Ketua Menteri selepas mempunyai majoriti sokongan bekas ADUN.
 
Memetik laporan Berita Harian, Idris bagaimanapun menafikan suara dalam rakaman perbualan telefon tersebut adalah miliknya.
 
Tegasnya, beliau tidak pernah menghubungi pemimpin terbabit dan tidak pernah mengetahui akan rakaman audio terbabit.
 
"Saya menafikan sekeras-kerasnya kononnya suara dalam rakaman itu adalah suara saya kerana saya tidak pernah menghubungi orang itu (Perdana Menteri) atau orang itu pun tidak menghubungi saya.
 
"Macam mana boleh timbul rakaman itu, saya pun tidak tahu, tetapi yang pasti ialah bukan saya orang yang ada dalam perbualan itu," jelas Bekas ADUN Sungai Udang itu.
 
Dalam audio itu berkenaan, kedengaran suara mirip Idris berkata:
 
"Bila aku tengok Perdana Menteri duduk bersama Anwar, Lim Guan Eng, Mat Sabu so aku kata this is new horizon, aku nampak tu yang aku mula temu dengan DAP."
 
Bagaimanapun, kedengaran satu lagi suara yang dikatakan mirip Ismail Sabri pula seolah-olah menemplak tindakan lelaki itu untuk bekerjasama dengan parti lawan.

"Takkan kau nak jadi Ketua Menteri dan DAP dengan kau?
 
Antara nama dipetik sepanjang perbualan itu beberapa pemimpin politik dari UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
 
Pada 4 Oktober lalu, DUN Melaka dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
 
Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiada ulasan: