Ridauddin Daud

Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh
mengundi pula pada 20 November depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mungkin
tidak akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan
berlangsung pada bulan depan.
Namun
begitu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Mujibu Abd Muis tidak menolak kemungkinan kerjasama tersebut mungkin
wujud selepas keputusan pengundian sudah diperolehi.
Menurutnya,
berdasarkan situasi semasa, beliau menjangkakan tiada mana-mana parti
yang mampu membentuk kerajaan usai PRN Melaka kerana adanya perpecahan
undi melainkan pengundi Melaka membuktikan sebaliknya.
“Kalau
kita kata selepas itu berlaku (kerjasama PN dan BN), tiada masalah
untuk saya menyaksikan pembentukan kerajaan negeri kepada PN dan
barangkali ia menyelesaikan masalah yang dicetuskan empat pemimpin yang
bertukar arah.
“Walaupun saya rasa kemungkinan PN dan BN akan bergerak bersama dalam konteks PRN Melaka itu agak sukar.
“Tetapi
sebagai penganalisis, kalau dilihat kepada kemampuan PN untuk kompromi
dan bergabung terutama antara Pas dan Bersatu, barangkali ia mampu
membuahkan hasil,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI Khas pada Selasa.
Tambahnya,
meskipun agak sukar buat dua parti tersebut menyaingi UMNO namun
mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas dan
Bersatu dilihat mampu menjejaskan undi dan majoriti dimenangi.
Dalam
pada itu, Mujibu menjangkakan wujudnya persaingan tiga penjuru atau
lebih jika mengambil kira komitmen disuarakan parti-parti sebelum ini
termasuk Bersatu yang menyatakan ingin bertanding secara bersendirian di
Melaka.
Menjadikan Masjid Tanah -
kawasan majoriti Melayu - sebagai contoh, beliau tidak menolak mungkin
berlakunya kejutan di kawasan yang boleh dikatakan kawasan selamat untuk
UMNO itu.
“Kalaulah kita kata ada 10,000
pengundi, setiap parti boleh dapat 2,000 undi maka margin kemenangan
itu akan ditentukan pengundi atas pagar.
“Ia
sudah tentu mampu membuat keputusan yang mengejutkan pada PRN nanti
walaupun kita bercakap tentang kawasan selamat di Masjid Tanah, kawasan
yang kita kata, ini adalah majoriti orang Melayu tinggi di sana,”
ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada
20 November depan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada Isnin.
[TERKINI] Perkembangan PRN Melaka, ditetapkan 20 November
“Tarikh-tarikh
PRN DUN Melaka ke-15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 18
Oktober (Isnin), tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh
mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20
November 2021 (Sabtu),” jelasnya.
Jelasnya lagi, sebanyak 28 pengurus pilihan raya dilantik dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan