HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

PAS tubuh jawatankuasa induk PRN Melaka

Ahmad Samsuri Mokhtar akan dibantu oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan 
Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, menurut Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: PAS sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang diketuai Naib Presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merangka strategi menghadapi keadaan itu, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, parti itu sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk menghadapi PRN Melaka sekiranya diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, Samsuri akan dibantu oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

“PAS mengikuti perkembangan politik di Melaka dan melahirkan kekesalan atas pembubaran DUN Melaka secara luar jangka dalam tempoh pemulihan pandemik ini.

“Namun PAS menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah mendepani PRN sekiranya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum pembubaran DUN Melaka pada Isnin yang dicetuskan oleh konflik dalaman kerajaan negeri Barisan Nasional-Perikatan Nasional, Umno memegang kerusi terbanyak berbanding parti lain dengan 14 ADUN, sementara Bersatu memiliki dua kerusi.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat ADUN, termasuk dua daripada Umno dan satu Bersatu, mengumumkan penarikan sokongan mereka.

Tiada ulasan: