HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 November 2021

DAP bantah keputusan PKR, Amanah terima dua bekas Adun Umno

 MALAYSIA POST

DAP bantah keputusan PKR, Amanah terima dua bekas Adun Umno

DAP membantah keputusan PKR dan Amanah untuk membenarkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan ia sebagai matlamat tidak menghalalkan cara bagi PH untuk menggadaikan prinsip dalam menghadapi PRN itu nanti.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP malam tadi, memutuskan untuk menolak keempat-empat Adun yang diketuai bekas Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

“Matlamat tidak menghalalkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi politik tulen yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui.

“DAP berharap akan ada kebijaksanaan dalam PH dan menggesa sekutu kami untuk memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan oportunisme politik semata-mata.

“PH tidak boleh mengulangi kesilapan sama dengan kehilangan nilai moral yang tinggi untuk membenarkan dua daripada empat Adun berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PH masih mempertimbangkan untuk mencalonkan dua daripada empat Adun yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata walaupun DAP gagal mendapat sokongan berkaitan perkara itu daripada PKR dan Amanah, namun terpaksa mematuhi keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan PH.

“Namun ini tidak bermakna keputusan majoriti sebegitu sebelum ini adalah betul,” katanya.

Selain Idris, tiga Adun lain adalah Datuk Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Sebelum ini PH memutuskan menolak Norhizam bertanding atas tiket gabungan itu susulan pengkhianatannya terhadap DAP yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan PH tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar menyokong Idris dan Nor Azman, atas alasan keempat-empat mereka itu hanya berpaling tadah selepas berunding dengan PH. – Malaysiapost

Tiada ulasan: